Kemelut antara Johnny Depp dan bekas isteri, Amber Heard sehingga kini belum selesai dan masih dibicarakan di mahkamah.
Pelakon Pirates of the Carribean itu sebelum ini dituduh menjadi kaki pukul dan mendera bekas isteri namun dia menafikan hal itu dan berkata sebaliknya Amber yang menderanya selama tempoh perkahwinan itu.
Terbaru, Johnny mendedahkan tindakan Amber membuang air besar di atas katil mereka merupakan kemuncak konflik rumah tangga yang dibina pada 2015 hingga 2017 itu, lapor Daily Mail.
Katanya, ketika itulah dia nekad untuk berpisah dengan Amber meskipun kemudian berkata ianya hanya ‘prank’.
Aktor berusia 57 tahun itu berkata sedemikian ketika perbicaraan kes samannya terhadap akhbar tabloid The Sun kerana melabelnya sebagai ‘wife beater’ (kaki pukul isteri) dalam satu artikel yang diterbitkan pada April 2018.
Menerusi artikel itu, Johnny dilabel sebagai seorang yang ganas dan suka memukul isteri namun tegasnya, sepanjang berkahwin dia tidak pernah mengasari bekas isterinya.
Sebaliknya, Amber itu yang sering berkelakuan kasar, manipulatif dan selalu memberi provokasi kepadanya sepanjang dua tahun mereka berkahwin. Johnny mendakwa Amber pernah menumbuk mukanya beberapa kali selain turut mencederakan tangannya dengan membaling botol arak ke arahnya.
Perbicaraan itu dijangka akan berjalan selama tiga minggu dan antara saksi di pihak Johnny ialah bekas kekasihnya, Vanessa Paradis dan Winona Ryder yang dijadualkan bakal memberi keterangan menerusi rakaman video.
Terdahulu, kedua-dua bekas teman wanitanya itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa sepanjang mereka berpacaran dengan Johnny, dia tidak pernah naik tangan mahu pun bertindak kasar terhadap mereka seperti yang dituduh Amber.
Untuk rekod, Johnny dan Amber disatukan pada 3 Februari 2015 dan disahkan bercerai hampir 2 tahun kemudian, iaitu pada 13 Januari 2017.