in

“Saya hanya mampu merangkak atas jalan” – Insiden Gajah Mengamuk, Mangsa Kongsi Detik Cemas Selamatkan Diri

gajah mengamuk di gerik hentak kereta mangsa selamatkan diri

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta Vios yang dipandunya diserang sekumpulan gajah liar di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam, mangsa, Faizal Mohamad, 39, ketika itu dalam perjalanan dari Kampung Guchil, Kuala Krai untuk melihat saudaranya yang meninggal dunia di Kampung Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.


Katanya, ketika kejadian, dia seorang diri dan melihat enam ekor gajah sedang melintas jalan lalu memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kumpulan gajah itu.

Artikel berkaitan: Bunyi Hon Didakwa Jadi Punca Gajah ‘Naik Minyak’ Di Gerik, Rosakkan Kenderaan Hingga Remuk

Artikel berkaitan: Ibu Gajah Sudah Bawa Diri, Kini Sertai Kawanan Di Habitat Asal Di Taman Negeri Royal Belum

“Saya memberhentikan kereta dan mematikan lampu untuk memberi laluan kepada kumpulan gajah itu melintas jalan.

“Pada masa sama, ada sebuah lori yang saya syaki dalam keadaan laju dari arah belakang dan melintas jalan.

“Keadaan itu berkemungkinan menyebabkan gajah itu terkejut sebelum tiga daripadanya mendekati kereta dan menghentak kenderaan saya sehingga kemek,” katanya.

Grb8yQkbAAEg1pP

Menurutnya, hentakan kuat gajah di bahagian hadapan kiri dan depan menyebabkan enjin keretanya mati dan pintu rosak.

Dalam keadaan panik, dia terus berlari ke bahagian tempat duduk belakang dan keluar melalui pintu sebelah kiri.

“Saya hanya mampu merangkak di atas jalan kerana kedua-dua mata saya masuk kaca dan luka di lutut.

“Saya minta bantuan orang ramai, namun mereka juga takut untuk melalui jalan itu kerana ketika itu gajah masih ada di atas jalan,” katanya.

Tidak lama selepas itu, ada sebuah lori lalu kemudian melemparkan mercun dan membuatkan kumpulan gajah itu berlari masuk ke hutan.

Sebaik melihat keadaan kembali selamat, dia menghidupkan enjin dan memandu ke Balai Polis Gerik yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Selepas membuat laporan polis, dia menuju ke Hospital Gerik untuk untuk mencuci mata berikutan matanya dimasuki kaca.

Faizal berkata, dia bersyukur kerana selamat walaupun kereta rosak dan ini merupakan kejadian pertama bertemu gajah walaupun sudah lapan tahun menggunakan jalan itu untuk berulang-alik dari Perak ke Kuala Krai.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.