Seorang lelaki rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand pada Sabtu lalu mengaku menerima upah sebanyak RM10,000 untuk menyeludup senjata api perang ke negara ini.
Menurut sumber Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao, lelaki terbabit membuat pengakuan berkenaan semasa sesi soal siasat yang dijalankan selepas penahanannya.
“Siasatan mendapati, suspek telah empat kali berulang alik memasuki Thailand. Suspek gagal menyeludup senjata api itu kali ini selepas dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Danok,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru dalam satu sekatan jalan raya di Danok, Sadao.
Artikel berkaitan: Cubaan Tipu Imigresen Gagal, 98 Warga Bangladesh Dihantar Pulang Dari KLIA
Artikel berkaitan: Raja Dadah India Diberkas, Sembunyi Di Kuala Lumpur Guna Pas Pelancong
Suspek berusia 42 tahun itu dicekup kira-kira pukul 5.35 petang ketika memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kanchanawanit.
Sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.
Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Surachit Petchom berkata, hasil pemeriksaan menjumpai dua laras raifal jenis M16 yang sebahagiannya telah dileraikan di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.
Selain itu, sebanyak 450 butir peluru pelbagai saiz di dalam tujuh katrij turut dijumpai di dalam kereta tersebut dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Sumber: Kosmo!