Seorang rakyat Malaysia kini berdepan hukuman gantung sampai mati di Singapura atas kesalahan dadah.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas Pannir Selvam Pranthaman itu dijadualkan dilaksanakan pada Khamis ini (20 Februari) di Singapura.
Artikel berkaitan: Tular Aksi Dikejar Polis Di Kluang, Pemandu Kereta Kuning Didapati Positif Dadah & Bakal Hadapi 6 Pertuduhan
Artikel berkaitan: Didapati Bersalah Kerana Kes B*nuh, Abah Hayat Dibebaskan & Terlepas Tali Gantung
Menurut laporan MalaysiaKini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bagaimanapun menyuarakan harapan agar Pannir dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan berkaitan kesnya.
“Kami dengan penuh hormat berpendapat Pannir hanyalah ‘keldai’ (pembawa) dadah dan tidak sepatutnya dihukum gantung, sedangkan anggota sindiket dadah masih bebas dan berkemungkinan sedang menyusun strategi baru untuk memperdaya rakyat Malaysia yang tidak menyedari kandungan bungkusan yang mereka bawa,” katanya.
Pada 2017, Pannir disabitkan kesalahan kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke Singapura, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia kemudiannya ditahan di pos pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.
Dalam pada itu, Ramkarpal berkata keluarga Pannir telah membuat laporan polis pada 12 Februari berhubung maklumat mengenai seorang perekrut dari Malaysia serta untuk mengetahui perkembangan siasatan kes tersebut.
Namun, pada 16 Februari, mereka menerima notis pelaksanaan hukuman mati, yang dijadualkan berlangsung pada 20 Februari.
Sumber: MalaysiaKini