Jika dahulu aplikasi TikTok kurang diterima ramai kerana dikatakan mengandungi konten dan video yang tidak senonoh. Kini, boleh dikatakan hampir semua pengguna media sosial mempunyai akaun TikTok untuk tujuan hiburan dan pembelajaran.
Menurut Digital Business Lab, TikTok berada di tangga pertama sebagai aplikasi yang paling banyak dimuat turun oleh rakyat Malaysia pada tahun 2021. Dilaporkan, lebih 4 juta pengguna TikTok di Malaysia dan 54 peratus daripada mereka ialah kaum wanita.
Bagaimanapun, menurut satu kajian yang dilakukan oleh URL Genius, mereka mendapati TikTok dan Youtube menggunakan data peribadi pengguna lebih daripada aplikasi media sosial yang lain. Betul ke?
Hasil kajian mendapati Youtube, yang dimiliki oleh Google mengumpul data pengguna untuk kegunaan peribadi mereka – seperti sejarah pencarian dan lokasi, untuk memberi iklan yang sesuai kepada pengguna.
Manakala TikTok, yang dimiliki oleh ByteDance, membenarkan penjejak parti ketiga untuk mengumpul data peribadi pengguna. Dengan data tersebut, banyak yang boleh dilakukan oleh mereka.
Dengan penggunaan penjejak parti ketiga, ia agak mustahil untuk mengetahui siapa yang menggunakan data anda atau maklumat yang mereka kumpulkan.
Untuk rekod, penjejak parti ketiga boleh mengesan aktiviti pengguna meskipun mereka sudah meninggalkan aplikasi tersebut.
Kajian yang dilakukan URL Genius ini menggunakan fungsi ‘Penjejak Aktiviti Aplikasi’ yang disediakan dalam perisian iOS. Fungsi ini boleh mengesan bilangan domain berbeza yang mengesan aktiviti pengguna.
Youtube dan TikTok mendahului aplikasi lain dengan 14 kenalan rangkaian; bilangan yang agak tinggi jika dibandingkan dengan aplikasi lain.
Sepuluh daripada penjejak Youtube adalah rangkaian parti pertama, bermakna platform itu menjejak aktiviti pengguna untuk mereka sendiri.
Manakala untuk TikTok pula, 13 daripada 14 rangkaian adalah daripada penjejak parti ketiga. Hasil kajian turut membuktikan pengguna tidak boleh melihat bagaimana data mereka dikongsikan kepada penjejak parti ketiga dan bagaimana ia akan digunakan.
Untuk rekod, sebelum ini Donald Trump pernah mengharamkan TikTok di Amerika Syarikat atas sebab sekuriti, sebelum aplikasi itu boleh digunakan kembali oleh pengguna di situ.
Kredit: CNBC
BACA: Buat Content TikTok Dedah Wajah OKT Masa Ke Mahkamah, Anggota Beruniform Boleh Berdepan Tindakan