Baru-baru ini, dilaporkan pengasas rangkaian kedai serbaneka terkenal 99 Speed Mart menyertai senarai billionaire Malaysia apabila 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd disenaraikan di Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, perkara itu mendapat reaksi berbeza daripada netizen terutama daripada bekas pekerja di kedai serbaneka terbabit apabila mendakwa kakitangan ditindas dari segi gaji, tekanan kerja dan sebagainya.
Artikel berkaitan: 9 Usahawan OKU Ini Boleh Dijadikan Inspirasi dan Sifu Dalam Dunia Perniagaan
Artikel berkaitan: ‘Sugar King of Asia’ Robert Kuok Kekal Tempat Pertama, Ini 5 ‘Billionaire’ Terkaya Di Malaysia
99 Speed Mart pertahan struktur gaji pekerja
Susulan dakwaan yang berlegar di laman sosial, 99 Speed Mart tampil menjelaskan jumlah gaji dan faedah yang ditawarkan kepada pekerja adalah ‘adil’.
Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang berkata, gaji yang ditawarkan adalah mematuhi sepenuhnya Akta Pekerja (Pindaan) 2022.
Menerusi akta tersebut, gaji minimum yang ditetapkan negara adalah RM1,500 sebulan dan 99 Speed Mart menegaskan syarikatnya membayar lebih daripada itu.
Katanya, selain gaji asas, syarikat itu turut menawarkan pakej kaedah komprehensif seperti kenaikan gaji tahunan, bonus akhir tahun, akses kepada klinik panel, peluang latihan kerjaya, kad SIM percuma serta baucar makanan percuma.
Mengulas tentang waktu bekerja, kedai 99 Speedmart beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam dan pekerja akan diberi bayaran lebih masa.
Selain itu, mengenai dakwaan pengurus cawangan menerima gaji sekitar RM2,387, beliau menafikan kerana menurutnya ada beberapa pengurus cawangan pasar mini itu yang telah lama berkhidmat telah menerima gaji lebih RM4,000 sebulan.
Yong Eng Kwang menganggap pekerja mereka adalah tulang belakang 99 Speed Mart dan mereka juga sedar dengan cabaran ekonomi masa kini.
Sumber: Berita Harian