Selepas tular rumahnya yang dilihat hampir runtuh kerana hakisan pantai, pemilik rumah, Mohd Yazit Idris menzahirkan rasa syukur apabila ada pihak memberikan sumbangan berupa bongkah batu dan tanah bukit untuk kerja tambatan hakisan pantai.
Kata lelaki berumur 66 tahun ini, semalam ada 4 lori membawa muatan bongkah batu dihantar ke kawasan rumah.
Artikel berkaitan : Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditik*m 6 Kali Oleh Penceroboh Di Rumah
Artikel berkaitan : “Sebahagian kedai sudah ada dalam laut” – Peniaga Di Terengganu Rugi RM30,000 Kerana Hakisan Pantai
“Terima kasih hamba Allah yang sudi membantu dengan menghantar bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja menambat hakisan pantai yang berlaku di belakang kediaman saya.”
“Sumbangan yang dihulurkan hamba-hamba Allah SWT ini amat saya hargai kerana saya tidak mampu berbuat demikian berikutan kosnya yang tinggi.”
Jelasnya, hartanya itu hanyalah banglo biru yang dibina menggunakan wang hasil caruman KWSP yang berjumlah RM600,000 selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta.
“Kini saya tidak mempunyai apa-apa melainkan banglo ini sahaja untuk dipertahankan sebagai kediaman hingga penghujung usia.”
“Namun, hakisan teruk sejak lebih dua minggu lalu mengakibatkan kerosakan struktur pada bahagian belakang rumah.”
Luah Yazit lagi, dia tidak sangka yang dia mendapat bantuan daripada individu-individu budiman yang menghulurkan sumbangan bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja-kerja menyelamat struktur rumahnya yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu itu.
Kongsinya, kerja memasang plastik pada lapisan tanah pula dilakukan pada hari ini bagi menguatkan struktur tanah yang ditambat sebelum meletakkan bongkah batu pada tanah berkenaan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan ramai di negeri ini yang sudi membantu kerana semua kerja ini memerlukan kos yang tinggi.”
“Saya tiada saudara mara di sini, namun bantuan yang diberikan ini cukup bermakna. Saya berdoa supaya cuaca juga kembali pulih bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan pantai dilakukan.”
“Saya tidak kenal semua hamba Allah SWT yang datang membantu saya namun saya berdoa semoga Allah SWT membalas segala kebaikan mereka. Insya-Allah.”
Bagaimanapun, katanya kerja menambat laut di belakang rumahnya itu sedikit tergendala berikutan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Dia kini sedang menghuni di sebuah chalet berhampiran, dengan harapan dapat pulang ke rumahnya dalam masa terdekat selepas kerja menambat pantai di belakang rumahnya itu selesai.
Sumber : Harian Metro