in

Pelajar IPT Di Kedah ‘Scam’ NGO, Minta Dana RM5,000 Konon Nak Bayar Yuran, Rupanya…

Pelajar Ipt Cam Ngo

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Cubaan seorang pelajar lelaki sebuah universiti yang terletak di utara Kedah meraih simpati daripada pertubuhan NGO terbongkar apabila dia dikesan telah melakukan penipuan untuk mendapatkan dana kononnya bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal telah membuat satu laporan polis berhubung penipuan itu untuk mengelakkan NGO lain turut menjadi mangsa.


Bagi alasan akan dibuang universiti jika tak bayar yuran

Ujarnya, pelajar berusia 20-an yang memperkenalkan dirinya sebagai Lim telah menghubunginya pada Ahad lalu untuk membantunya mendapatkan dana bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000 dengan alasan keluarganya tidak berkemampuan.

Artikel berkaitan: Kemuka Sijil Palsu, Individu Terpalit Isu ‘Scam’ Biasiswa NASA Ditamatkan Dari Program Felo Perdana

Menurut Zuraini, pelajar terbabit juga memberi alasan bakal dibuang daripada universiti berkenaan jika dia tidak membayar yuran terbabit.

“Disebabkan kasihan dengannya, saya memuat naik status di laman sosial (FB) saya untuk meminta bantuan rakan-rakan supaya membantu pelajar ini kerana bimbang dia tidak dapat belajar dengan memberi nombor akaun bank milik pelajar ini.

“Pelajar itu kemudian memberitahu dia memperoleh sebanyak RM1,176 selepas beberapa jam kemudian,” ujarnya.

2857518

Pernah minta bantuan NGO lain dapat kutipan lebih RM30k

Zuraini kemudian cuba menghubungi pihak NGO dari Pulau Pinang untuk meminta mereka membantu, namun jawapan yang diterima agak mengejutkan.

“Wakil NGO terbabit memberitahu mereka pernah membantu pelajar ini sehingga mendapat kutipan mencecah lebih RM30,000 tetapi pelajar itu sebenarnya tidak membayar yuran namun terbabit dalam perjudian dalam talian,” katanya.

Menurut Zuraini, dia kemudian menghubungi semula pelajar terbabit namun menafikan perkara itu dan mengugut untuk melakukan sesuatu di luar batasan.

Katanya, dia meminta pelajar itu memulangkan semula wang kutipan yang disalurkan melalui akaunnya itu untuk dipulangkan semula kepada penderma yang juga dalam kalangan ahli CSM.

“Pelajar itu dan bapanya turut menghubungi saya lebih daripada 30 kali supaya saya memadam status yang dimuat naik di FB saya selain meminta maaf.

“Saya juga sudah menghubungi pihak universiti berkenaan dan mereka mengesahkan pelajar itu masih belajar di situ dan turut mengetahui perbuatan pelajar itu yang suka mencari dana dengan menipu,” katanya.

Pun begitu, disebabkan bimbang pelajar terbabit terus menipu, Zuraini membuat laporan polis di IPD Kubang Pasu supaya NGO lain tidak terpedaya dengan tipu helah pelajar terbabit.

Dedahnya, pelajar terbabit sebelum ini menggunakan modus operandi yang sama untuk menagih simpati dengan memberitahu bapanya orang kurang upaya (OKU) manakala ibunya hanya bekerja di pasar.

Difahamkan, NGO dari Pulau Pinang tidak membuat laporan polis walaupun sudah menjadi mangsa penipuan pelajar terbabit sejak April lalu kerana bimbang dengan ugutannya.

Pelajar itu juga pernah melakukan penipuan dengan alasan sama terhadap beberapa orang kenamaan sebelum ini.

Justeru, Zuraini berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan supaya menjadi pengajaran buatnya pada masa akan datang.

Sumber: Berita Harian

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.