Hampir sebulan sejak tercetusnya kemelut dan peperangan di Gaza, ramai penduduk dunia bersolidariti memberi sokongan dan bantuan terhadap mangsa yang terlibat.
Ramai mula melancarkan boikot terhadap jenama dan organisasi yang memberikan bantuan terhadap Israel dan salah satu organisasi yang terpalit dengan tindakan boikot ini adalah rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia.
Hal ini disebabkan ramai yang beranggapan McDonald’s Malaysia turut mempunyai pertalian dengan rangkaian asal di Amerika Syarikat (AS) di mana umum mengetahui negara itu adalah sekutu Israel.
Artikel berkaitan: “Ramai orang lepas ni!” – Netizen Bangga Woodfire Nak Gantikan Coca-Cola Dengan Minuman Tempatan
Artikel berkaitan: “Kami tak jual sos cili” – McDonald’s Perjelas Isu Pelanggan Dakwa Peket Sos Cili Kena Caj
Susulan itu, McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan pembayaran royalti tidak sama sekali disalurkan untuk menyokong perang antara Palestin dan Israel.
Sebaliknya, royalti yang dibayar kepada McDonald’s Corporation adalah untuk penggunaan jenama, program pembangunan bakat, serta pembangunan teknologi yang dilakukan mereka.
“Kami membayar royalti untuk penggunaan jenama, seperti yang saya katakan ia adalah jenama yang sangat kuat. Semua yang disediakan seperti latihan, sokongan, sistem, apa yang kami perolehi, wang itu disalurkan kepada mereka untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan, mereka menghasilkan pelbagai jenis sistem.
“Terutamanya pada masa kini dengan teknologi, banyak wang yang dibelanjakan untuk tujuan itu. Anda lihat aplikasi yang kami ada, ia memerlukan wang untuk membangunkannya. Itu semua dilakukan mereka. Itulah royalti yang dibayar.
“Selebihnya diberikan kepada pemegang saham, ia mudah, kerana ini adalah syarikat komersial,” jelas Pengurus Besar dan Developmental Licensee, Reza Food Services Co Ltd, Abdulrahman Alireza.
McDonald’s Malaysia dimiliki Reza Food Services yang merupakan milik orang Islam. Syarikat ini juga turut memiliki rangkaian restoran McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi.
Beri kesan kepada pekerja
Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menyatakan restoran itu sering kali dikaitkan dengan konflik di Asia Barat dan situasi paling buruk dihadapi berlaku pada 2014.
Katanya, ajakan boikot yang berlaku lebih memberi impak kepada pekerja mereka yang kesemuanya terdiri daripada anak tempatan.
Mengulas lanjut, dia menyatakan ramai pekerjanya sedih kerana dikecam dan dicemuh orang awam.
“Mereka pakai uniform ada lambang McDonald’s, naik bas orang cakap, “eh Yahudi”, kenapa jadi begitu?
“Kita orang Melayu, orang Islam, kita ada 21,000 pekerja. Mereka semua ada anak, isteri, keluarga dan sudah berpuluh tahun bekerja di McDonald’s mencari rezeki yang halal untuk keluarga, tapi dikecam, dicemuh.
“Malah ada yang dibaling batu pada tahun 2014, kenapa? Apa salah kita? Apa salah pekerja?” katanya.
Terdahulu, McDonald’s Malaysia telah memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Sumber: Astro Awani