Korang ada tak haiwan yang korang takutkan? Kalau ada, kenapa korang takut dengan haiwan tu?
Kalau tanya min, min takut dengan cicak sebab masa kecik-kecik dulu masa tengah kemas rumah, ada cicak pernah jatuh atas kepala min masa mengemas. Terus trauma sampai sekarang. Nampak cicak je terus ready nak lari atau cover kepala sebab takut dia jatuh.
Selalunya kalau sesiapa yang ada pengalaman lebih kurang macam min ni memang auto boikot haiwan tu. Tapi lain pulak bagi seorang nenek di Thailand ni yang masih tegar menangkap ular-ular tidak berbisa untuk dilepaskan ke kawasan lebih selamat meskipun dia sudah dua kali pernah digigit reptilia terbabit.
Portal Thaiger melaporkan, Prakuad Pasomsi, 67, dianggap sebagai hero kampung di kawasan tempat tinggalnya di daerah Isaan kerana baru-baru ini dia berjaya menangkap seekor ular sawa besar dengan hanya menggunakan kedua belah tangannya.
Mesra disapa Own, warga emas ini sebenarnya sudah tiga tahun menangkap ular tidak berbisa tanpa menggunakan alatan selain tangannya. Difahamkan, ular yang ditangkap Own selalunya akan diserahkan kepada pasukan penyelamat haiwan untuk dibebaskan semula di kawasan yang lebih selamat.
Mengaku pernah digigit ular sebanyak dua kali sepanjang tiga tahun menangkap ular, Own berkata walaupun sakit, dia langsung tak takut dengan reptilia itu.
Difahamkan, Own dianggap sebagai frontliner di kawasan kampungnya untuk menguruskan hal-hal berkenaan ular. Warga emas itu akan dipanggil oleh orang kampung sekiranya mereka ada menemukan reptilia terbabit.
Selain keberaniannya, Own juga dipuji orang kampung kerana tidak pernah meminta walau satu sen pun selepas membantu mana-mana orang kampungnya.
Sumber: Thaiger
Baca: “Macam tangkap kucing je” – Netizen Terpegun Tengok Lelaki ‘Rileks’ Tangkap Ular Tedung Macam Tu Je!