Pelawak dan pelakon, Yassin akhirnya tampil kongsikan mengapa dirinya ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu. Ia sekaligus menjawab spekulasi yang timbul mengenai dirinya selama ini setelah berjaya pulang ke Malaysia.
Jelasnya, penahanannya itu sebagai tempoh pengajian dan pengalaman yang amat berharga buat dirinya. Dalam satu sesi temu bual, Yassin menyatakan bahawa dia rela pulang sehelai sepinggang dan tinggalkan segala barang peribadinya di sana.
Artikel berkaitan : Kenyataan Sentuh 3R, Muhyiddin Yassin Dakwa Ada Pihak Putar Belit Ucapan
Artikel berkaitan : “Beri ruang Yassin berehat” – Isteri Sahkan Pelawak Yassin Sudah Pulang Ke Malaysia
“Tak boleh nak gambarkan perasaan ketika sampai ke Malaysia. Saya memang nak jumpa ibu, isteri dan anak-anak, rindu. Saya menggunakan ‘certificate emergency’ kerana saya balik sehelai sepinggang.”
“Dokumen tiada. Yang penting, pengajian sudah tamat dan saya boleh balik.”
Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman sepanjang penahanannya yang sekaligus memberikan pengajaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati jika ingin ke negara orang.
Jelsnya, dia terpaksa tidur selama 10 hari di balai polis Jeddah kerana lantai lokap itu penuh dengan tahanan lain sebelum dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November lalu.
Katanya, pada hari pertama di pusat berkenaan, dia ada terima panggilan daripada pihak konsulat Malaysia di Jeddah dan berpeluang bercakap dengan isterinya walaupun dengan talian yang terputus-putus.
“Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya. Kali pertama saya dapat tinggalkan ‘voice note’ kepada isteri.”
Yassin juga menceritakan bahawa dia ada peluang untuk membela diri melalui perbicaraan mahkamah secara atas talian pada 19 November lalu. Dia menjelaskan secara terperinci mengenai kejadian yang berlaku.
Ia sekaligus menjawab satu spekulasi yang pernah timbul dengan mengatakan bahawa kononnya pelawak itu ditahan kerana membawa barang terlarang.
“Saya akui kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya, mungkin musibah ini satu kebaikan untuk saya.”
“Ini satu pengajaran, saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan. Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu.”
Dalam pada itu, Yassin turut mendedahkan ada pihak yang cuba ambil kesempatan sepanjang tempoh penahanannya dan dia kini sudah mengenal pasti individu yang cuba kutip dana dengan menggunakan namanya dengan alasan ingin membantu.
Sumber : mStar Online