Semalam, dilaporkan mengenai berita penemuan rangka milik warga emas berusia 74 tahun di sebuah pangsapuri yang terletak di Kepong, dipercayai sudah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Mayat mangsa ditemukan oleh anaknya selepas sudah lama tidak bertemu bapanya dengan bantuan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan untuk memecah pintu rumah tersebut.
Exco Keselamatan JMB pangsapuri itu, Ab Razak Isa menceritakan ketika mereka masuk, keadaan rumah bersepah dan lebih mengejutkan apabila terdapat rangka manusia terbaring di ruang tamu.
“Ketika itu lampu terbuka dan kipas juga masih berpusing. Saya tengok sekeliling duit milik arwah yang diletakkan berhampiran tilamnya masih ada, jadi saya rasa tiada unsur jenayah,” katanya.
Artikel berkaitan: Penduduk Terkejut Jumpa Rangka Dalam Rumah, Dipercayai Mayat Warga Emas Meninggal 4 Tahun Lalu
Jiran tak pernah hidu bau pelik
Penemuan rangka itu turut mengejutkan jiran tetangga kerana selama itu mereka tidak pernah terhidu bau busuk.
Kata salah seorang penduduk, warga emas itu dikenali penduduk kerana rajin ke surau untuk solat berjemaah selain mengajar kanak-kanak mengaji.
Arwah juga merupakan seorang pendiam kerana jarang bertegur setiap kali terserempak di hadapan rumahnya.
“Saya akan selalu lalu depan rumah dia untuk hantar anak ke rumah pengasuh, tetapi untuk beberapa tahun ini tidak melihatnya dan tak pernah pula bau (mayat).
“Mungkin asbab amalan dia, aibnya dilindungi atas amalan yang sering dibuat sewaktu ada di dunia ini,” katanya.
Menurut wakil penduduk, arwah tidak pernah lewat membuat bayaran yuran penyelenggaraan sebelum kali terakhir dibuat pada September 2021.
Memetik laporan, lelaki warga emas itu ada penyakit darah tinggi dan pernah kena strok. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sumber: Sinar Harian