in

“Minum air laut, makan ikan mentah” – Nelayan Kongsi Pengalaman Sepanjang 6 Hari Hanyut Di Lautan

ft nelayan hanyut

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dua orang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang di Georgetown, Pulau Pinang sejak Isnin lepas telah ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia semalam. Katanya, mereka hanya memikirkan mati apabila bot yang dinaiki mereka dihanyutkan ombak besar.

Bagaimanapun, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22 dan Nor Hasrul Abdullah, 25 terus tawakal dan tidak putus berdoa agar mereka dapat diselamatkan sepanjang enam hari berada di lautan dalam hingga ke perairan.


Artikel berkaitan : Hilang Di Laut Selepas Bot Hanyut Di Perairan Pulau Pinang, 2 Lelaki Ditemui Selamat Di Perairan Acheh

Artikel berkaitan : “Besar betul” – Nelayan Terengganu Terima Pujian, Sanggup Masuk Pukat Lepaskan Whale Shark Terperangkap

Berkongsi mengenai detik mereka ‘terperangkap’ di lautan, Muhammad Ikmal Hakimi mengatakan bahawa mereka keluar ke laut pada 3 petang Isnin, semasa mahu hidupkan enjin ketika sedang memukat ikan, tali enjin mereka tiba-tiba rosak sebelum ia terus tidak hidup, dalam masa sama ombak serta ribut semakin kuat.

Beliau ada hubungi majikan yang juga pemilik bot berkenaan bagi meminta bantuan dan majikan mengatakan bahawa mereka akan hantar orang bagi membantu mereka, namun sehingga 12 tengah malam tiada bantuan tiba.

“Waktu itu ombak dan ribut masih kuat dan dalam masa sama, bot telah hanyut dibawa arus ombak dan saya menghubungi keluarga untuk maklumkan kejadian itu serta terus menunggu bantuan tiba.”

“Tetapi sampai ke sudah tiada sesiapa yang datang, waktu kami cuba menjerit meminta bantuan dan memberi isyarat menggunakan lampu picit tetapi tiada sesiapa menyedarinya, telefon bimbit pula telah habis bateri.”

Screenshot 2024 12 23 153145

Dalam pada itu, Muhammad Ikmal Hakimi berkata mereka tidak dapat menghubungi sesiapa untuk meminta pertolongan tetapi masih lagi berfikir akan selamat kerana masih nampak kawasan bukit di Teluk Bahang.

Katanya lagi, dia selalunya akan turun ke laut sekitar empat jam dan semasa kejadian mereka ada membawa bekalan nasi, tapi telah habis dimakan pada hari pertama, manakala hari kedua mereka tidak makan dan hanya minum air laut sahaja.

Tiada pilihan lain, pada hari ketiga, mereka berdua mula makan ikan mentah yang ditangkap untuk menghilangkan rasa lapar dan beberapa kali muntah kerana tidak pernah makan seperti itu, namun terpaksa membuat itu juga kerana bimbang tiada tenaga jika tak makan.

“Masuk hari ketiga kami sudah tidak nampak bukit di dataran dan saya dengan abang Hasrul mula bergaduh antara satu sama lain sehingga beberapa kali jatuh ke dalam kerana tertekan, tetapi Alhamdulillah kami masih selamat sebab pakai jaket keselamatan dan waktu tu hanya fikirkan akan mati sahaja.”

“Kami juga hanya mampu tawakal sahaja dan apabila sekali lagi dilanda ribut serta hujan lebat, saya dan abang Hasrul berlindung di bawah pukat sebab takut air mula masuk ke dalam bot jadi kami terpaksa membuang pukat bagi mengimbangi bot serta mengelakkan bot karam.”

Screenshot 2024 12 23 153355

Bagaimanapun, penantian dan detik cemas mereka berakhir apabila masuk hari keenam, mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan dari Acheh yang terlihat bot mereka terumbang-ambing di tengah laut sebelum menghulurkan bantuan termasuk makanan serta minuman.

Dia yang baru sahaja dua minggu ke laut menangkap ikan berkata, memang niat mahu meneruskan kerja sebagai nelayan, bagaimanapun buat masa ini dia ikut nasihat ibunya Hanita Ismail, 47, untuk kembali bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Nor Hasrul pula mengatakan bahawa kejadian itu telah meninggalkan trauma mendalam kepada mereka namun masih bersemangat untuk meneruskan kerja sebagai nelayan kerana telah mula turun ke laut sejak setahun enam bulan.

3082770

“Kejadian ini pengalaman pertama bagi kami, walaupun ombak besar biasa kami hadapi, tetapi tidak pernah seteruk ini. Kami akan lebih berhati-hati selepas ini.”

Sebelum ini, suasana sedih dan gembira menyelubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang membawa balik dua orang lelaki dari Acheh apabila ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang menunggu dapat berjumpa serta memeluk kedua-dua mangsa.

Sabtu lepas, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan pada 5 petang selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari.

Sumber : Bernama

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.