Baru-baru ini, tular satu kes melibatkan penipuan haji apabila sekumpulan jemaah dari Sabah mendakwa tidak dibenarkan masuk ke Makkah ketika sudah sampai di Tanah Suci, dipercayai berpunca daripada tidak memiliki visa haji sah.
Mangsa hanya dibenarkan masuk ke Makkah pada 14 Zulhijah ketika umat Islam lain selesai menunaikan segala rukun haji.
Lebih mengejutkan, agensi yang mengendalikan kumpulan jemaah itu didakwa mengatakan bahawa ibadat haji tetap diterima walaupun tidak melaksanakan wukuf.
Artikel berkaitan: Kes Jemaah Haji Dipaksa Redah Laluan Bahaya Ke Makkah, Polis Terima 3 Laporan Berkaitan Kes Penipuan Pakej Haji
Artikel berkaitan: “Kena jalan kaki, redah padang pasir tanpa makanan” – 47 Warga Emas Ditipu Ejen Haji, Dipaksa Lalui Laluan Bahaya ke Makkah
Wajib sembelih seekor kambing & bertahallul
Susulan isu itu, Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, jemaah yang terhalang daripada menunaikan ibadat haji selepas berniat ihram, wajib menyembelih seekor kambing dan bertahallul (menggunting rambut).
“Sesiapa yang terhalang menunaikan haji atau ‘ihsar’ selepas berniat haji, mereka perlu sembelih seekor kambing dan bertahallul.
“Jika seseorang itu belum masuk ke Tanah Haram dan belum berniat haji, maka mereka belum dianggap memasuki ibadat haji dan tidak perlu melakukan apa-apa tindakan.
“Sekiranya mereka masuk ke Tanah Haram selepas musim haji, mereka boleh masuk untuk menunaikan umrah,” katanya.
Ulas beliau yang merujuk kepada peristiwa dalam sirah Nabi Muhammad SAW yang pernah terhalang untuk menunaikan haji pada tahun keenam hijrah.
Katanya lagi, berdasarkan pandangan mazhab majoriti ulama, jika mereka yang terhalang itu membuat haji sunat, maka tidak perlu qada.
Namun, bagi mereka yang masih belum menyelesaikan haji wajib, masih wajib menunaikan sekiranya mampu.
Sumber: Harian Metro