Permasalahan dalam rumah tangga sekiranya tidak diselesaikan sebaiknya boleh menyebabkan mahligai yang dibina runtuh dan ada juga segelintir yang seakan-akan tidak serius dalam perhubungan, sehinggakan perceraian tidak memberikan sebarang kesan.
Lebih parah, ada pasangan yang sanggup meninggalkan buah hati sehingga bertahun lamanya tanpa sebarang khabar.
Persis plot sebuah drama, perkara itu sebenarnya berlaku kepada seorang wanita yang kesnya ditangani oleh peguam syarie yang mendedahkan perkara tersebut.
Menurut Nursakinah Jaludin, dia pernah menangani kes seorang wanita yang telah membuat tuntutan fasakh ke atas suaminya selepas lelaki berkenaan hilang tanpa sebarang khabar lebih daripada setahun.
Pun begitu, wanita tersebut ada terfikir untuk menarik balik tuntutan fasakh yang dilakukan walaupun suaminya itu sudah setahun menghilang dan tidak menunaikan nafkah kerana terfikir untuk memberikan peluang kepada suaminya sekiranya dia tiba-tiba kembali.
Namun, wanita tersebut menerima khabar duka dan menyakitkan hati apabila mengetahui suaminya itu sudah bernikah lain dan perkara tersebut hanya diketahui selepas ia didedahkan oleh rakannya mengenai suaminya itu.
Kawan wanita ini yang mengenali secara rapat dengan suaminya mendedahkan lelaki tersebut sebenarnya telah berkahwin lain dan mempunyai anak lain dengan seorang wanita di Indonesia.
Selepas beberapa kali tuntutan fasakh cuba ditarik balik, akhirnya rumahtangga wanita tersebut terlerai melalui tuntutan fasakh yang telah dibuat di sebuah mahkamah syariah di Selangor.
Artikel berkaitan : “6 tahun bertahan” – Isteri Beri Alasan Suami Tak Puaskan Permintaan, Curang Di Aplikasi ‘Dating’
Artikel berkaitan : Isteri Mohon Cerai Lantik Peguam Tapi Ramai Tarik Diri, Bila Selidik Rupanya…
Tambah Nursakinah, adalah penting kepada pasangan yang sudah berumah tangga untuk menyimpan segala bukti atau dokumen berbentuk resit berkaitan soal nafkah bagi tujuan masa depan kerana sekiranya ia dibawa ke mahkamah, ia boleh mengukuhkan keterangan.
Dalam kes yang dikongsikan, lelaki tersebut tidak langsung hadir ke mahkamah semasa tuntutan fasakh dibuat, jadi isteri melakukan sumpah istizhar yang bertujuan untuk memperkuatkan serta memperjelaskan tuntutan dan menolah sebarang tohmahan selepas terbukti pihak lelaki salah.
Sumber : Majoriti