Sepasang kekasih ditahan pihak polis selepas cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan melawan arus sehingga dikejar 14 MPV Polis.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.40 pagi Rabu, apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dikesan memandu secara mencurigakan.
Memetik laporan Sinar Harian, kenderaan yang dinaiki oleh sepasang kekasih itu melarikan diri sejauh 96 kilometer sebelum berjaya ditahan selepas 1 jam 22 minit.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pada awalnya anggota unit MPV cuba menahan kereta terbabit secara baik.
Artikel berkaitan: Pemandu Lori Rempuh Rumah Orang, Lompat Keluar Dari Kenderaan Kerana Lari Dari JPJ
Artikel berkaitan: Pecut Kereta Hingga Terbabas Sebab Kantoi Berkhalwat, Lelaki Sempat Larikan Diri Tinggalkan Kekasih
Namun suspek enggan berhenti dan terus memecut laju malah turut memandu secara melawan arus demi melepaskan diri daripada ditahan.
“Suspek melarikan diri melalui Lebuhraya Pasir Gudang ke Perling, kemudian ke Lebuhraya Utara-Selatan, berpatah balik ke Lebuhraya Pasir Gudang, sebelum memasuki Lebuhraya EDL, Pusat Bandar, Southkey, Jalan Bakar Batu, Jalan Masai Lama dan akhirnya ke Tanjung Langsat.”
Aksi kejar mengejar itu melibatkan sebanyak 14 unit MPV termasuk unit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam turut sama membantu menahan suspek.
Pasangan kekasih positif dadah, tiada lesen memandu
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 0.45 gram syabu dalam kereta mereka. Malah, kedua-dua suspek iaitu lelaki berkenaan dan teman wanitanya yang berusia 34 tahun juga disahkan positif methamphetamine.
Pemandu tersebut juga tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kenderaan sudah tamat tempoh.
Semakan lanjut juga menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kedua-duanya kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 42(1), Seksyen 26(1), dan Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Sinar Harian