Seorang pelawak dan pelakon ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya, Sabtu lalu.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut menemukan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan pelawak itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Isteri dakwa polis minta ubah kenyataan dalam laporan
Terbaharu, isteri kepada pelawak berkenaan mendakwa dia dipaksa oleh salah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menukar kenyataan yang diberikan dalam laporan berhubung penangkapan suaminya.
Artikel berkaitan: Selebriti Lelaki Yang Ditahan Dah 8 Tahun Menagih G*nja
Menurutnya, dia terpaksa membuat pendedahan tersebut kerana beranggapan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa melanggar etika dalam sesebuah siasatan kes.
“Selepas suami ditangkap, saya dan anak dipanggil untuk berikan kenyataan terhadap penemuan ‘barang haram’ tersebut. Saya ceritakan semuanya, perkara betul apa yang jadi ketika itu.
“Tetapi apa yang mengejutkan saya, pada keesokan harinya saya dipanggil semula dan diminta untuk menukar kenyataan yang saya sudah berikan sehari sebelum itu. Saya tidak akan dedahkan nama dia (anggota PDRM terlibat),” katanya ketika live di Instagram pada malam Khamis.
Maklumnya lagi, ketika diminta berbuat demikian dirinya tidak berfikir panjang dan mematuhi arahan tersebut dengan anggapan demi kebaikan suaminya.
Namun katanya, selepas memikirkan semula tindakan tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku, dia mengambil keputusan dengan menceritakan hal yang sebenarnya.
“Dia (anggota PDRM) beritahu saya untuk ubah kenyataan dalam laporan sedangkan laporan saya sangat mudah. Saya dalam keadaan (memikirkan) mungkin demi kebaikan suami, maka saya pun ikut apa yang dinasihatkan.
“Saya ikut walaupun cerita sebenarnya sekian-sekian. Kalau fikir balik ikut undang-undang, ia tidak sepatutnya berlaku. Saya rasa semua yang berada dalam live saya pun tahu mengenai perkara ini,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan kali pertama dalam rumahnya tidak menemukan sebarang bukti seperti laporan yang dilakukan.
“Saya faham itu kerja mereka dan mereka ada maklumkan akan masuk semula untuk tangkap gambar. Tetapi ada pemeriksaan kedua yang dilakukan, kali ini di bahagian stor simpanan.
“Selepas pemeriksaan kali kedua, anggota berjaya menemui barang terlarang tersebut tetapi ketika itu saya dan suami di ruang tamu. Tidak tahu apa yang jadi (di stor) ketika itu,” jelasnya.
Katanya, pendedahan tersebut hanya untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa perkara itu tidak seperti yang disangka.
Dalam pada itu, dia juga meminta orang ramai untuk mendoakan suaminya untuk mendapat keadilan bagi bacaan pertuduhan di Mahkamah Sepang hari ini.
Jelasnya, dia merasakan kes ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak adil dan seperti dianiayai.
Dia menyatakan akan cuba menegakkan keadilan dan berharap ada berita baik bagi pihak suami dan keluarganya.
Sumber: Sinar Harian