Sejak dahulu lagi, tabiat merokok adalah sesuatu yang diumpamakan sebagai suatu pandemik. Oleh sebab itu, kerajaan telah mengambil beberapa initiatif untuk menggalakkan rakyat Malaysia berhenti merokok.
Pada tahun 2020, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan RM2.8 juta bagi memberi rawatan berhenti merokok atau farmakologi ini, iaitu peningkatan sebanyak hampir 30% daripada tahun sebelumnya. Hasilnya, seramai 18,600 orang perokok tegar telah berjaya membuang terus tabiat buruk tersebut.
Walau bagaimanapun, menurut statistik WHO, terdapat lebih kurang 1 bilion perokok hari ini, dan jumlah ini dijangka akan terus bertambah.
Bagi yang tak merokok, pasti ada yang tertanya – “Kalau rokok tu tak baik, kenapa buat lagi?”. Tak semua orang terkesan dengan statistik. Sebab itu, amat penting untuk mereka memahami fakta-fakta di sebalik statistik tersebut supaya kita boleh membanteras pandemik ini.
Fakta 1 : Asap Rokok Punca Bahaya
Apabila tembakau di dalam sebatang rokok itu dibakar, lebih 6,000 bahan kimia akan terhasil, dan sekurang-kurangnya 100 daripadanya telah dikenalpasti sebagai punca utama kanser paru-paru dan penyakit-penyakit kardiovaskular yang lain. Pun begitu, walaupun perokok itu sendiri sanggup mengambil risiko, asap daripada rokok mereka itu bukan saja akan masuk ke paru-paru mereka sendiri, malah juga orang-orang di sekeliling mereka, baik yang terhidu secara sengaja atau sebaliknya!
Menurut kajian Universiti Sains Malaysia, lebih 600,000 perokok pasif terkorban setiap tahun akibat terdedah kepada asap rokok basi. Kajian Pusat Kajian Kanser Nasional di Tokyo menunjukkan bahawa wanita yang bersuamikan perokok berdepan risiko 30% lebih tinggi untuk mendapat barah paru-paru, manakala kanak-kanak di bawah 5 tahun yang terdedah kepada asap rokok pula terpaksa berdepan risiko menghidap jangkitan telinga, jangkitan saluran pernafasan dan sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS). Wajarkah mereka yang tidak bersalah ini terhukum kerana tabiat buruk perokok?
“Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa semakin tinggi suhu tembakau, tahap keseluruhan bahan kimia berbahaya dan berpotensi bahaya juga akan meningkat. Dengan menghapuskan proses pembakaran dan mengurangkan suhu pemanasan tembakau, tahap keseluruhan bahan kimia berbahaya dan berpotensi bahaya juga akan dapat dikurangkan.” – Tom McGrath, Ketua Saluran Profesional Global, PMI
Fakta 2 : Nikotin Dan Ketagihan Merokok
Ramai yang mula merokok secara suka-suka akibat pengaruh rakan sebaya, tetapi kemudiannya menjadi ketagih dan sukar untuk berhenti. Kenapa? Jawapannya ada pada ‘nikotin’.
Apabila nikotin disedut, badan akan terangsang untuk menghasilkan lebih endorfin, iaitu elemen yang mampu mengurangkan stres dan menenangkan mood buat sementara. Inilah puncanya seseorang terus merokok, iaitu untuk mendapatkan kembali ‘ketenangan’ itu tadi. Walaupun nikotin boleh membuatkan seseorang ketagih, namun ia bukanlah punca utama penyakit-penyakit kronik akibat merokok, melainkan unsur-unsur kimia lain daripada asap rokok (seperti yang disebut dalam Fakta 1).
Walau bagaimanapun, nikotin juga bukanlah bebas risiko. Nikotin boleh menaikkan kadar degupan jantung dan jumlah oksigen yang digunakan oleh jantung, membuatkan ia masih berbahaya, terutamanya kepada kanak-kanak bawah umur dan ibu-ibu mengandung.
Fakta 3 : TAR Dalang Utama
Berbeza dengan nikotin, TAR adalah salah satu komponen berbahaya dalam rokok yang patut ditakuti. Walau bagaimanapun, TAR yang dimaksudkan bukanlah tar yang sama digunakan untuk membuat jalan dan sebagainya. TAR (Total Aerosol Residue) adalah sukatan berat sisa pepejal dan air yang tinggal dalam asap rokok, selepas air dan nikotin dikeluarkan.
Sisa pepejal dan air inilah yang mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya, dengan puluhan daripadanya bersifat karsinogen iaitu punca penyakit kronik seperti kanser. Selain mampu merosakkan bahagian dalam mulut, mengotorkan gigi dan melemahkan deria rasa, TAR juga akan mendap dan membentuk lapisan melekit pada dinding dalaman paru-paru sekaligus berisiko menyebabkan kanser dan gangguan pernafasan.
Ramai pula salah tanggapan bahawa semakin rendah sukatan TAR (yang biasanya tertera pada kotak rokok), semakin rendah risikonya. Cara terbaik adalah untuk melihat komposisi bahan-bahan yang terkandung dalam sisa pepejal dan air itu sendiri, bagi memahami risiko dan bahaya sesuatu produk rokok.
Ya, merokok adalah suatu pandemik, tetapi ia sebenarnya dapat diatasi dengan mudah. Solusi terbaik tetaplah untuk terus berhenti daripada menggunakan tembakau dan nikotin, namun langkah yang lebih logik dan praktikal buat masa ini bagi perokok tegar adalah untuk mengelak daripada menghasilkan asap rokok.
“Perokok memang digalakkan berhenti. Tetapi jika tidak mampu berhenti, mereka perlukan jalan penyelesaian yang lebih pragmatik dan munasabah, bagi membantu mereka membuat pilihan yang lebih baik. – Badrul Chowdhury, Ketua Pegawai Sains Kehidupan, PMI
Disebabkan itu, pakar dari seluruh dunia konsisten menggunakan kemajuan sains serta teknologi untuk mencipta produk alternatif yang tidak melibatkan pembakaran, seperti ‘MESH vaping system’ (MVS), ‘heated tobacco products’ (HTP) dan sebagainya.
Tanpa pembakaran, asap rokok pun akan lenyap berserta bahan-bahan kimia berbahaya di dalamnya, sekaligus risiko penyakit kronik akibat rokok pun pasti akan berkurangan.