Sebelum ini, penyanyi Shila Amzah memilih mengunci mulut berhubung isu melibatkan orang ketiga atau sering digelar ‘penyondol’, dalam rumah tangga ibu bapanya yang sedang hangat diperkatakan belakangan ini.
Terbaharu, Shila menafikan wanita bernama Siti Munirah yang didakwa isteri baru bapanya, ND Lala itu adalah rakan baiknya, lapor Harian Metro.
Katanya, walaupun mengenalinya sejak sekolah, tetapi wanita itu tidak layak diberikan ‘gelaran’ rakan baik.
“Sudah tentu saya mengenalinya. Pada saya, tidak ada orang baik yang akan berkelakuan seperti itu. Saya tiada ucapan baik mahupun buruk kepadanya.
“Segala rasa untuk diberikan tidak memadai kepadanya sama ada sayang atau benci. Saya rasa dia tidak layak menerima apa saja rasa daripada saya,” katanya.
Dulu rapat sampai tidur serumah
Menurut Shila, mereka memang rapat ketika bersekolah dan rakannya itu sering tidur di rumah mereka.
Ujarnya, Siti Munirah sering berkongsi cerita mengenai masalah kepadanya tetapi sudah tidak begitu rapat apabila meningkat dewasa kerana rakannya itu suka menghilangkan diri.
“Saya anggap kami tiada persefahaman saja. Namun, dia lebih rapat dengan mak berbanding saya selepas tamat sekolah. Ini adalah realiti dan saya perlu perjelaskan kerana dia bukan kawan baik saya,” katanya.
Dalam pada itu, Shila percaya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku terhadap keluarganya ketika ini.
Sebagai seorang anak, Shila hanya mahukan ibu bapanya gembira tidak kira masih bersama atau tidak lagi.
Terdahulu, Syada Amzah perjelaskan ibu mereka ke mahkamah bukan untuk membuat tuntutan cerai seperti yang didakwa.
Baca: “Jangan buat spekulasi” – Syada Amzah Nafi Ibu Failkan Cerai