Baru-baru ini, seorang rakyat Malaysia disahkan menjadi tentera upahan Ukraine selepas tular dokumen peribadinya di medan perang Ukraine-Rusia. Selain menetap di Perlis, tiada info penuh berkenaan pemuda berusia 20 tahun itu.
Terbaru, individu yang mendakwa dirinya sepupu kepada pemuda itu menyifatkan dia seorang yang introvert sejak kecil dan meminati dunia ketenteraan.
Artikel berkaitan: Tular Gambar Lesen Memandu, Ketua Polis Negara Sahkan Rakyat Malaysia Jadi Tentera Upahan Ukraine
Artikel berkaitan: MyKad & Lesen Memandu Malaysia Ditemui Di Medan Perang Ukraine-Russia, Wisma Putra Beri Respon
Menurut laporan Harian Metro, wanita berusia 39 tahun itu berkata mengetahui kaki sepupunya cedera ketika berperang di Ukraine, namun dia selamat.
“Saya tidak fikir sepupu ke sana (Ukraine) kerana wang. Ini kerana, keluarganya bukan dalam kalangan keluarga susah.
Bapanya juga sangat bimbang dengan keselamatannya anaknya,” katanya.
Wanita tersebut juga berkata dia hanya mengetahui keberadaan sepupunya itu di Ukraine melalui aplikasi WhatsApp.
“Dia (sepupu) tidak pernah maklumkan kepada keluarga hendak ke Ukraine. Saya hanya tahu sepupu kini di Ukraine sejak April lalu selepas dia mengirim mesej melalui WhatsApp,” katanya.
Sepupunya itu berkongsi, pemuda itu dibesarkan ibunya di Perlis sebaik berpisah dengan bapanya, namun bapanya yang tinggal di Kedah itu masih menanggung yuran pengajiannya serta perbelanjaan hariannya.
“Sebelum ini, saya tidak rapat dengan sepupu. Namun, sejak dia menyambung pengajian di kolej di Selangor, hubungan kami mula erat malah saya yang menjaganya ketika dia berada di sini,” katanya.
Wanita itu turut berkongsi, sepupunya itu anak lelaki tunggal dan ketika menyambung pengajian di kolej, keputusan peperiksaannya juga agak bagus. Kini, keluarga hanya menunggu untuk dihubungi oleh pemuda itu.
Sumber: Harian Metro