Kera merupakan sejenis haiwan mamalia yang bertubuh lebih besar daripada monyet biasa, ia boleh menjadi agresif jika diprovokasi.
Terbaru, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang dalam perjalanan untuk belajar mengaji trauma tiba-tiba diserang seekor kera di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun semalam.
Artikel berkaitan: Wanita Diserang Sawan Ketika Memandu, Peniaga Cedera Kedai Dirempuh Kereta
Artikel berkaitan: Polis Sahkah Bangkai Kucing Di UM Akibat Serangan Anjing, Tiada Unsur Penderaan Manusia
Insiden yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, mengalami kecederaan pada bahagian lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit dan dicakar haiwan liar itu.
Menurut laporan Kosmo!, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Ammar Hakim sedang berlari-lari anak untuk cepat sampai ke rumah guru mengaji al-Quran yang tidak jauh dari kediamannya.
“Seekor kera bersaiz besar tiba-tiba menerkam kanak-kanak tersebut (Muhammad Ammar Hakim) dari arah belakang. Berlaku pergelutan, mangsa yang menjerit kesakitan cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi kera tersebut terus mengejar kanak-kanak tersebut,” katanya.
Beliau berkata lagi, mangsa bernasib baik ibunya menyedari sebelum bertindak cepat menyelamatkan anaknya dan menghalau haiwan liar berkenaan.
Muhammad Ammar Hakim segera dikejarkan ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sumber: Kosmo!