Sambutan bulan Ramadan di sini meriah dengan pelbagai hidangan yang memikat selera. Malah, bulan ini juga kita akan menemui juadah yang jarang dijual atau dinikmati pada hari-hari biasa.
Justeru, ramai dalam kalangan kita yang akan berkongsi menu berbuka di media sosial. Namun, pernah tak terfikir apakah hukumnya dari sudut syarak?
Menjawab persoalan ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihati umat Islam supaya tidak memuat naik gambar-gambar makanan, minuman atau individu yang sedang menikmati juadah ke dalam media sosial, sebelum waktu berbuka puasa.
Menurutnya, perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa, namun mungkin boleh menggalakkan umat Islam lain untuk meninggalkan puasa mereka yang mana perkara ini sudah pasti bertentangan dengan ajaran Islam, lapor Kosmo!
Oleh itu, mereka yang berkongsi gambar makanan dan minuman disifatkan sebagai berdosa kerana seolah-olah mendorong muslim lain untuk meninggalkan puasa.
“Saya menasihatkan supaya umat Islam menghentikan perbuatan yang menggalakkan orang lain berbuat dosa melalui gambar-gambar makanan yang dimuat naik di media sosial sebelum tiba waktu berbuka,” katanya.
Tambah beliau, pengguna media sosial seperti WhatsApp, Tiktok dan Instagram seharusnya mendorong umat Islam menunaikan rukun ketiga itu dengan perkongsian ilmu manfaat serta kebaikan yang diperoleh di bulan mulia ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak penguatkuasa agama Islam negeri-negeri untuk memantau restoran-restoran dan mengambil tindakan tegas ke atas premis perniagaan yang menyediakan makanan atau minuman kepada orang Islam yang tidak berpuasa.
Baca: Batal Puasa Atau Tidak? Ini Senarai Ubat Dan Rawatan Yang Boleh Membatalkan Puasa