Beberapa hari lalu, kes tuntutan hibah bernilai RM1 juta yang pernah kecoh di media sosial sebelum ini dikatakan selesai apabila wang hibah itu kekal menjadi hak milik si balu.
Perkara itu dikongsikan oleh ejen takaful yang dikenali sebagai Shahrul Sabri selaku adik kepada balu berkenaan, malah polisi hibah tersebut turut diambil melaluinya oleh abang ipar sewaktu arwah masih hidup.
Kes belum selesai sepenuhnya
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, kes tersebut dikatakan belum selesai sepenuhnya apabila dimaklumkan bahawa masih ada lima lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Artikel berkaitan: “Alhamdulillah selesai. Hibah kekal milik kak saya”- Kes Hibah Tukar Jadi Faraid Akhirnya Selesai, Kekal Milik Isteri Arwah
Artikel berkaitan: Kes Tular Hibah Tukar Jadi Faraid, Rupanya Isteri Arwah Yang Sambung Bayar Polisi Tersebut Sehingga Akhir Hayat Suami?
Perkara itu dikongsikan oleh Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi di laman Facebook selepas dimaklumkan oleh adik kepada balu terbabit.
“Sebak suaranya bercerita perkembangan terbaru kali ini. Tempoh hari pun beliau jugalah yang berkongsi maklumat kes itu kepada saya, sebelum saya membuat hantaran di media sosial dan menggemparkan industri takaful,” ujarnya.
Menurut Afyan Mat Rawi, rupanya ada 6 kes yang dicabar keluarga mentua dan masih ada 5 lagi kes yang sedang berjalan.
1. Hibah takaful
2. Permohonan nafkah
3. Permohonan harta sepencarian
4. Permohonan pentadbir pusaka
5. Pembahagian faraid
6. Tuntutan ke atas sebidang tanah
Ujarnya lagi, isteri arwah sudah membelanjakan lebih RM100,000 kos guaman untuk menguruskan kes tersebut di mahkamah.
“Itu belum termasuk kos ulang-alik ke mahkamah, masa, dan tekanan emosi yang ditanggung selama LIMA TAHUN!” tulisnya.
Lebih memilukan, si balu dalam kes ini hanyalah seorang penjaja kecil yang berniaga nasi ayam dan sedang menyara tiga orang anak yang masih bersekolah.
Untuk info, kes ini bermula apabila peserta takaful iaitu abang ipar Shahrul yang memiliki polisi takaful bernilai RM1 juta meninggal dunia namun arwah telah menamakan isterinya sebagai penerima hibah bersyarat (Hibah Nomination).
Selepas balu menerima pampasan tersebut, pihak keluarga arwah tidak berpuas hati lalu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil.
Mahkamah Tinggi Sivil memutuskan bahawa hibah itu tidak sah daripada sudut undang-undang sivil dan mengarahkan agar wang RM1 juta itu diagihkan mengikut hukum faraid.
Sumber: Facebook