Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berpendapat bahawa cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membatalkan lesen memandu bagi individu yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai orang kurang upaya (OKU) mental harus dinilai berdasarkan kes.
Jelasnya, tindakan untuk menarik balik lesen memandu untuk semua golongan OKU mental itu sangat tidak wajar kerana masih ramai lagi golongan ini mampu memandu dengan baik dan memerlukan pengangkutan sendiri termasuklah mencari rezeki.
Artikel berkaitan : Hikmah Di Sebalik Kejadian, Lelaki OKU Tular & Keluarga Dapat Tajaan Pakej Umrah
Artikel berkaitan : Pakcik OKU Rupanya Pelajar Cemerlang & Aktif Sukan, Mula Berubah Ketika Masuk Universiti
“Kita akan lihat berdasarkan kes spesifik dan tidak boleh (dinilai) secara umum (stereotaip) terhadap golongan OKU mental. Mereka juga perlukan lesen untuk berulang alik dan ada yang mampu memandu dengan baik.”
“Jadi kalau ada kes terpencil dan spesifik, kita akan lihat sama ada akan tarik balik lesen mereka atau sebaliknya. Ini bukan dasar, sebab masih ramai OKU membawa kenderaan dengan selamat, malah ada yang jadi pemandu e-hailing yang kita lesenkan.”
“Saya tak mahu keluarkan kenyataan secara umum yang boleh memangsakan yang lain. Kalau ada kes tertentu kita lihat dan ambil tindakan sewajarnya.”
Beliau ditanya mengenai reaksinya berkenaan dengan kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin semalam yang dilapor menggesa JPJ membatalkan lesen memandu individu disahkan OKU mental, menurutnya jika membenarkan seseorang tanpa kewarasan akal memandu, ia boleh membahayakan orang lain.
Gesaan itu dibuat susulan dengan kejadian seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu selepas motosikal ditungganginya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan dijual tumpah.
Malah, satu kejadian pada 9 Oktober lalu, tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut dilanggar pemandu didakwa pesakit mental, namun Pejabat Kesihatan Terengganu yang membuat semakan mendapati suspek berusia 49 tahun tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.
Disebabkan itu, Fahami Asrof dilapor berkata, PPJK mahu menghantar surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memastikan sekolah memandu peka dengan pelajar yang datang sebagai OKU mental.
Sumber : Berita Harian