Air banjir dari paip pecah membeku akibat suhu yang menjunam pada Isnin lalu telah menyebabkan sebuah jalan di Detroit, Amerika Syarikat diselubungi ais tebal.
Rakaman yang dikongsi oleh penduduk tempatan menunjukkan keadaan di barat daya Detroit di mana kenderaan yang diletakkan di bahu jalan membeku sepenuhnya. Turut kelihatan ais menutupi bahagian bonet hingga ke tingkap beberapa buah kenderaan dilokasi kejadian.
Menurut laporan Yahoo News, paras air di sesetengah kawasan mencecah sehingga lima kaki. Keadaan ini bertambah buruk dengan suhu di bawah paras beku yang melanda Detroit dalam beberapa hari sepanjang minggu lalu.
Dalam satu kenyataan pagi Isnin, Great Lakes Water Authority (GLWA) mengesahkan bahawa paip penghantaran air utama berukuran 54 inci telah pecah di kawasan Beard dan Rowan, barat daya Detroit.
Pihak berkuasa bandar menyatakan sekurang-kurangnya 54 orang dewasa, 22 kanak-kanak, dan 12 haiwan peliharaan yang terjejas telah berjaya diselamatkan. Penduduk yang terjejas terpaksa dibawa keluar oleh pasukan penyelamat, termasuk menggunakan bot, manakala beberapa keluarga dipindahkan ke hotel selepas kediaman mereka terputus bekalan elektrik dan air.
Baca: Pesawat Terhempas, Semua Penumpang Termasuk Juruterbang Terkorban