Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 skala Richter telah menggegarkan Jepun, semalam. Menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi tersebut melanda pada pukul 2.42 petang berhampiran pantai barat pulau Honshu.
Walau bagaimanapun, menurut Agensi Meteorologi Jepun pula, magnitud gempa bumi itu adalah 6.3 skala Richter dah telah menggegarkan wilayah Ishikawa dan kawasan sekitar tengah Jepun.
Buat masa ini, tiada sebarang amaran Tsunami telah dikeluarkan.
Seorang maut dan beberapa bangunan runtuh
Gempa bumi tersebut telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1 kematian manakala 21 lagi cedera.
“Terdapat gegaran besar dan panjang yang berlangsung kira-kira dua minit. Saya berasa takut kerana gegaran itu berterusan”
Pegawai cuaca juga telah memberi amaran kepada penduduk mengenai kemungkinan gempa susulan dan tanah runtuh dalam beberapa hari akan datang.
Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno memberitahu wartawan di ibu kota Tokyo bahawa seorang individu dilaporkan meninggal dunia dan terdapat “beberapa laporan tentang bangunan runtuh”.
Menurut agensi pengurusan bencana dan kebakaran tempatan pula, mereka menyatakan sekurang-kurangnya tiga bangunan musnah dengan dua orang terperangkap di dalamnya.
Seorang mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan tersebut dan dihantar ke hospital manakala para penyelamat mencari mangsa yang lain.
Lebih banyak gempa melanda wilayah tersebut pada lewat hari, termasuk satu yang berukuran 5.8 skala Richter pada sekitar 10.00 malam.
Sumber: Berita Harian