Seorang kanak-kanak autisme yang dikenali sebagai Ayden Nazmi didakwa menjadi mangsa dera di sebuah taska, perkara itu dikongsikan oleh bapanya, Nazmi Zulkifli ketika dia ingin memandikan anak sulungnya dan ternampak badan anaknya berbirat.
Kata Nazmi, kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu sebaik menjemput Ayden pulang dari taska dan apabila ditanya mengenai perkara tersebut, anaknya tidak mampu memberikan respon kerana berdepan masalah pertuturan.
Artikel berkaitan : Mengadu Takut Pergi Taska, Ibu Luluh Bila Dapat Tahu Anak Didera Pengasuh
Artikel berkaitan : Kes Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska, Ada Yang Salahkan Ibu Bekerja
Jelasnya lagi, ketika dia dan isteri bergegas membawa anaknya itu ke klinik untuk mendapatkan rawatan, dia dan isteri ada bertanyakan pandangan doktor mengenai kesan lebam yang ada pada badan anaknya itu.
Doktor pakar merumuskan ia kesan dipukul, bukan jatuh daripada gelongsor seperti mana yang didakwa oleh guru taska.
“Pada pagi 16 Januari, isteri saya yang pulang ‘on-call’ terus bawa Ayden jumpa doktor pakar di Hospital Shah Alam. Dia juga menghubungi cikgu sebelum ini dan apabila ditanya melalui telefon, katanya mungkin Ayden terjatuh semasa bermain gelongsor.”
“Semasa di hospital, isteri saya meminta pendapat lima doktor pakar dan kesemuanya mengatakan Ayden luka kerana dipukul, bukannya terjatuh. Kemudian, dia terus buat laporan polis sepertimana dicadangkan doktor.”
“Selama sebulan ini, saya tidak menceritakannya kerana kes masih dalam siasatan polis dan tiada seorang pun cikgu dari taska itu yang mengaku, semua kata tak tahu ada kesan lebam pada badan Ayden.
“Lebih malang, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dalam kelas Ayden kerana dikatakan rosak dan sedang diselenggara. Kenyataan bahawa Ayden jatuh gelongsor juga tak benar kerana dalam CCTV, tiada kelibat Ayden bermain di sana atau sesiapa pun yang jatuh.”
Menerusi Facebook, Nazmi juga mendakwa pihaknya diberitahu semalam bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA), malah tiada tangkapan reman dibuat ke atas mana-mana guru taska berkenaan sehingga sekarang.
Dakwanya lagi, alasan diberi disebabkan tiada rakaman CCTV dan bukti tidak mencukupi meskipun terdapat laporan perubatan disahkan pihak hospital.
“Laporan pusat terapi pula mengatakan perubahan Ayden sangat ketara selepas kejadian. Ini berita yang amat mengecewakan kami sekeluarga kerana begitu mudah kes dilepaskan.”
“Selamatkah anak-anak kita dihantar ke taska hanya kerana tiada bukti CCTV, bahkan semua pihak yang bertanggungjawab terlepas begitu sahaja?”
Oleh itu, pihaknya kini menuntut keadilan untuk membela nasib anaknya dan memohon doa daripada orang ramai bahawa mana-mana individu yang mendera Ayden bakal dapat pembalasan setimpal di dunia dan di akhirat.
Sumber : Facebook