Peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina Mahathir, menegaskan bahawa dakwaan kononnya remaja itu dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya spekulasi semata-mata.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan penularan video seorang individu yang menceritakan tentang kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, ibu Zara tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada mana-mana pihak.
Pihaknya menggesa wanita yang membuat dakwaan itu untuk menyalurkan maklumat terbabit kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.
Artikel berkaitan: Timbul Dakwaan Zara Dimasukkan Ke Dalam Mesin Basuh, Peguam Minta Hentikan Spekulasi
Artikel berkaitan: “Kak M cakap takkan maafkan saya” – Peguam Sahkan Rakaman Suara Zara Qairina Yang Tular Adalah Asli
“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan dengan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan, video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi.”
Menurut mereka lagi, penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada jam 8 pagi, 16 Julai lalu, juga adalah satu spekulasi.
Sehubungan itu, kedua-dua peguam berharap penularan pelbagai dakwaan membabitkan kes kematian Allahyarham Zara di semua platform media sosial dihentikan segera.
“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran sedemikian, kami memohon agar memadam video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.”
Cerita Zara dimasukkkan dalam mesin basuh hanya andaian sahaja
Sementara itu, aktivis Mona Din memaklumkan dakwaan kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah tidak benar.
Katanya, individu terbabit mengakui cerita tersebut hanyalah andaiannya sahaja dan memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia.
Justeru, orang ramai digesa untuk berhenti menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan siasatan kes.
Jadinya, kita tunggu sahaja maklumat berkaitan kes ini daripada pihak keluarga dan peguam mereka kerana itu sahaja yang benar-benar sahih.
Sumber: Facebook