Duduk serumah, bila di tempat kerja selalu dibuli, bila dah tak tahan seorang lelaki 20 tahun bertindak membunuh si pembuli itu.
Kejadian berlaku di Jalan Kemajuan, Subang Jaya pada hari Ahad lepas, suspek dikatakan menjerut mangsa berusia 20 tahun itu guna wayar elektrik sebelum kelar leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 malam itu, pembunuhan itu turut dibantu oleh dua lagi rakan suspek.
Suspek dengan bantuan dua rakan subahatnya kemudian tergamak bertindak kejam dengan menyumbat mayat mangsa ke dalam sebuah tong sampah sebelum membuangnya di tepi Jalan Persiaran Kewajipan,”
Menerusi Sinar Harian, suspek yang berusia 21 tahun adalah rakan serumah mangsa, semasa kejadian, suspek hanya memberitahu dua rakannya itu hanya ingin menyamun mangsa.
“Dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun itu bersetuju tanpa mengetahui niat sebenar suspek adalah untuk membunuh mangsa dan bukan untuk menyamun,” katanya.
Tambah Adbdul Khalid lagi, kejadian ini disedari oleh ibu saudara mangsa berusia 60 tahun yang gagal menghubungi mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di SS 19.
“Mangsa selalu menghubungi ibu saudaranya itu setiap hari selepas tamat bekerja namun apabila tidak menerima panggilan pada hari kejadian dan gagal menghubungi mangsa, wanita berkenaan mula berasa curiga dan membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, tindakan suspek dan rakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kawasan rumah berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan ibu saudaranya.
“Sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan pada Isnin menemui karpet dan dompet milik mangsa di bawah jejantas berdekatan lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, polis kemudian menemui tong sampah berwarna hitam mengandungi mayat mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari rumah sewa mangsa.
“Kita telah menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di Kajang, Port Dickson dan Flat Keramat Jaya Sri Perlis,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal terhadap suspek utama mendapati kejadian berlaku kerana suspek utama didapati tidak berpuas hati dan mendakwa sering dibuli oleh mangsa ketika bekerja sebagai tukang cuci di restoran sama.
“Malah suspek sering ditegur oleh lelaki berkenaan setelah pulang ke rumah,” katanya.
Abdul Khalid berkata salah seorang suspek direman empat hari hingga Sabtu.
“Manakala tiga lagi suspek termasuk suspek utama direman sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.