“Serius la Songkran cancel tahun ni?” – Ini Sebab Kenapa Festival Songkran Dibatalkan

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Songkran, adalah Tahun Baru Thailand berdasarkan kiraan takwim tradisionalnya bermula 13 hingga 15 April.

Dan sebut saja Songkran, semua kaki travel mesti tahu apa akan berlaku di Thailand — khususnya di Khaosan Road setiap kali menjelangnya 13 April.

Bersedia untuk disimbah air!

Enam lapangan terbang utama Thailand turut menjangkakan kehadiran lebih tiga juta pengunjung, yang akan masuk ke Bangkok untuk menyertai acara itu.

Tapi malangnya, mungkin sambutan Festival Air Songkran tahun ini tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya kerana ianya dibatalkan.

Dibatalkan bukanlah bermaksud tiada langsung sambutan, cuma tiada sebarang penganjuran rasmi dibuat oleh pihak pelancongan Thailand.

Difahamkan, sambutan masih akan berjalan seperti biasa tapi pada skala yang sangat kecil.

Tapi, apa sebabnya Festival Songkran tak disambut besar-besaran tahun ni?

 

Thailand nobatkan raja baru

Inilah sebabnya kenapa.

Rupanya ada acara yang lebih besar dinanti rakyat Thailand! Raja Maha Vajiralongkorn akan ditabalkan secara rasminya sebagai Raja Baru negara gajah putih itu bulan hadapan.

Menurut laporan Bangkok Post, persatuan peniaga di Khaosan Road bersepakat untuk tidak menganjurkan sambutan Songkran tahun ini bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa melakukan persiapan di lokasi itu sempena pertabalan raja.

Meskipun majlis pertabalan akan berlangsung dari 4 hingga 6 Mei, namun pihak berkuasa dan seluruh penduduk Thailand telah mula menghias beberapa laluan utama untuk menyambut hari penuh sejarah itu.

Difahamkan selain Khaosan Road, satu lagi lokasi yang lazimnya terdapat sambutan meriah Songkran iaitu di Silom Road — juga tiada penganjuran pada tahun ini.

 

Pelancong masih boleh sambut Songkran

Apa pun, jangan risau kerana para pelancong masih dibenarkan untuk menyambut Songkran namun ada beberapa peraturan yang dikenakan oleh majlis bandar raya tempatan.

Antaranya termasuk tidak boleh menggunakan pistol air tekanan tinggi, mengambil minuman keras dan mengadakan persembahan hiburan umum.

Peniaga di kawasan tumpuan Khaosan Road dan Silom Road, masih akan meneruskan operasi seperti biasa — namun mereka tidak akan membekalkan air percuma dan serbuk warna kepada pelancong seperti kebiasaannya.

Segala kerja-kerja membaik pulih jalan raya dan kawasan pejalan kaki sedang dilakukan, termasuklah mengecat bangunan-bangunan lama agar tampak lebih cantik sempena berlangsungnya istiada pertabalan raja nanti.

Kalau sambutan Songkran diteruskan dalam skala besar-besaran, sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu segala kerja yang dilakukan pihak berkuasa bukan?

Sebagai orang luar yang datang ke negara orang, beringatlah agar sentiasa menghormati peraturan dan adat mereka.

 

Baca: 5 Tempat Paling Berhantu Di Bangkok Dengan Sejarah Tersendiri Yang Boleh Buat Korang Tak Tidur Malam

 

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Nab Talib

Seorang yang selalu berangan untuk bekerja di Dunder Mifflin Paper Company, dan penggemar berat Morrissey.