in

“Saya panggil namanya, tapi dia tidak menyahut” – Hilang Dua Keluarga Serentak Dalam Serangan, Zaid Mustafa Rela Nyawanya Diambil Dulu

Untitled Collage 3 2

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

“Saya rela nyawa saya diambil dulu, biarlah bapa dan abang saya meneruskan kehidupan mereka seperti sedia kala.”



Dengan nada tersekat-sekat dan suara yang tidak jelas kedengaran, Zaid Mustafa mengungkapkan ayat itu penuh emosi.

Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, Zaid duduk di sisi ibu tercinta sambil memegang erat tangan satu-satunya darah daging yang masih tinggal — bukti dia tidak ditinggal sebatang kara.

Hendak disentuh tangan sang bapa, sudah sejuk dibalut tanah.

Hendak digenggam tangan si abang, sudah kaku membiru uratnya.

 

“Dia menembak semberono saja”

Zaid Mama

Menceritakan kembali detik tersebut, Zaid berkata dia bersama abangnya Hamza bertempiaran lari untuk bersembunyi dan menyelamatkan diri, sebaik jemaah lain melaung “Ada tembakan!”

Dan tidak semena-mena, beberapa butir peluru menembusi bahagian pinggang Hamza.

Zaid yang cemas cuba melompat untuk mengelak, namun terjatuh kerana ‘hamburan’ peluru sesat lain sempat ‘hinggap’ di kakinya.

Dua beradik itu kemudian bangkit berlari mencari jalan keluar, tanpa menyedari di belakang mereka — si pelaku masih meliar mencari mangsa yang berteriak ketakutan untuk ‘didiamkan.’

Tembakan bertalu-talu terus mengenai mereka, lalu Hamza terbaring berlumuran darah.

Dalam keadaan terduduk menahan kesakitan, Zaid bersembunyi di sebalik kereta.

“Lelaki itu tidak mahu berhenti menembak jemaah lain. Saya beralih ke tepi kenderaan, dan memanggil abang saya. Hamza! Hamza! Namun Hamza tidak menyahut panggilan saya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, pasukan perubatan datang dan membawa Zaid yang lemah ke hospital.

Tanpa mengetahui, Hamza sudah pun meninggal dunia.

Dan lebih memilukan, bapa mereka Khaled Mustafa — yang juga berada di dalam masjid ketika kejadian — telah terlebih dahulu meninggalkan mereka.

“Saya terlalu sayangkan Hamza. Kami sering luangkan masa, dan lakukan banyak perkara bersama. Saya sayangkan dia,” kata Zaid, ketika diminta bercerita mengenai abangnya.

Tangis Zaid tidak dapat ditahan, ketika ditanya pula mengenai ayahnya.

“Saya bacakan Quran buat ayah, dan berdoa untuknya. Alhamdulillah, kerana dia syahid dan dia akan ke syurga,” katanya ringkas untuk menenangkan hati, mengetahui si bapa dan abang, dikabulkan pengakhiran yang baik hikmahnya.

 

“Dunia melihat siapa pengganas”

Zaid 1

“Serangan ini tidak melemahkan umat Islam, sebaliknya ia menguatkan lagi perpaduan antara kami,” Salwa Mustafa, isteri dan ibu yang kehilangan dua tonggak hidupnya — membuka bicaranya di sisi Zaid.

“Apa yang berlaku, menjadikan kami lebih kuat kerana kami bukan pengganas,” katanya.

Ibu ini kuat menantang dunia, dan kembali mengatakan “Seluruh dunia menjadi saksi, siapa pengganas sebenarnya. Islam adalah agama kedamaian, agama yang penuh kasih sayang. Fahamilah erti sebenar Islam.”

Begitu besar, mesej yang dibawa seorang ibu yang terlihat lembut dan halus raut wajahnya.

Salwa dan keluarganya, melarikan diri dari perang saudara di Syria dan menghabiskan masa bertahun lamanya sebagai pelarian di Jordan — sebelum mereka diterima masuk ke New Zealand tahun lalu.

“Sebelum datang ke sini lagi, kami tahu negara ini sebuah negara yang selamat buat kami memulakan kehidupan baru,” jelasnya lagi.

Namun, tiada siapa menyangka — sebuah negara seaman itu boleh dicemari insiden pembunuhan beramai-ramai, 15 Mac lalu.

 

Baca: “Wajah jenazah sangat bersih, seperti tidur sahaja” – Pengalaman Pemuda Ini Masa Ziarah Pengebumian Arwah Haziq

Haziq2

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.