Polis Cari Lelaki Didakwa Terlibat Dalam Pembunuhan, Rompakan & Penderaan Seksual Terhadap Nenek 85 Tahun Di Ampang

Untuk korang yang tak tahu, bulan lepas (19 September) seorang nenek berusia 85 tahun telah ditemui mati di rumahnya di Tasik Tambahan Ampang dengan tangan terikat.

Menurut China Press, mayat warga tua ini ditemui oleh anak lelakinya yang berusia 61 tahun. Menurut anaknya, pada pukul 5 pagi dia pulang ke rumah dan tengok rumahnya bersepah.

Bila dia cuba cari ibunya, lelaki ini menemui mayat wanita itu di dalam salah sebuah bilik dengan kepalanya ditutup dengan kain, tangan diikat, seluar dilucutkan serta kepalanya terlangkup di atas katil.

Sumber: China Press

Selepas pihak polis mendapat laporan tentang penemuan ini, mereka menghantar pasukan forensik dan K9 untuk menyiasat. Malangnya, di kawasan sekitar tak ada CCTV dan jiran-jiran di sana melaporkan yang dorang tak dengar apa-apa yang pelik berlaku pada malam itu.

Ekoran dari itu, pihak polis telah menahan anak lelaki wanita malang tersebut untuk membantu siasatan selepas melihat lelaki ini seperti mencurigakan.

Keluarga mangsa memberitahu yang hubungan ibu dan anak ini baik dan dorang dah tinggal bersama selama bertahun-tahun.

Tambah lagi, walaupun mangsa mempunyai penyakit demensia ringan, dia tetap sihat dan telah tinggal di kawasan itu lebih dari 30 tahun dan disayangi oleh jiran-jirannya.

Sumber: Astro Awani

Anak wanita ini tak bersalah

Walaupun pada awalnya polis suspek anak wanita ini yang melakukan pembunuhan selepas saksi mengatakan mereka melihat dua beranak ini bergaduh sebelum wanita ini ditemui mati, bukti baru yang ditemui di lokasi kejadian menunjukkan yang lelaki itu tak bersalah.

Pihak forensik telah menemui air mani pada mayat mangsa namun tak ada tanda-tanda mangsa telah dirogol.

Menurut China Press, pihak berkuasa menemui cap jari seorang lelaki bernama Sathiaraj A/L Kundaiah atau dikenali sebagai Eno di rumah tersebut.

Sumber: China Press

Pihak polis kini sedang memburu lelaki ini kerana mereka merasakan yang lelaki ini mungkin merupakan dalang disebalik insiden kejam tersebut.

Keluarga mangsa mengatakan yang mereka tak mengenali suspek ini. Justeru itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang jenayah ini untuk menghubungi pihak polis dengan segera.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Baca: “Kecik-kecik dah ada fetish” – Dua Remaja ‘Korek’ Kubur Nenek 84 Tahun Sebelum Gilir-gilir Rogol Mayat

Ditulis oleh Nadia Ghafar

Pendengar setia Willie Nelson