Jutaan Kucing Liar Di Australia Bakal Dibunuh Dengan Menggunakan Sosej Beracun!

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Australia baru-baru membuat satu polisi khusus untuk menghapuskan jutaan kucing liar yang berpeleseran di negara itu menjelang 2020.

Kedengaran kejam bukan? Tapi polisi itu bukanlah dirangka sebarangan.

Ia dibuat berdasarkan matlamat untuk menjaga kelestarian ekosistem, selain memastikan kelangsungan spesis haiwan-haiwan asal Australia — yang terancam kepupusan akibat dimakan kucing liar.

Meskipun ia tergolong dalam spesis sama seperti kucing domestik lain — feral cat atau killer cat ini tinggal di habitat hutan di mana mereka terpaksa memburu haiwan untuk survival.

Jadi, sebab itulah pihak berkuasa Australia berang kerana ada antara haiwan yang menjadi buruan kucing liar ini populasinya semakin berkurangan dan hampir pupus.

Dianggarkan, satu juta ekor burung kecil dan 1.5 juta reptilia menjadi mangsa kepada kucing liar setiap hari. Dan hampir 377 juta burung dan 649 juta reptilia di Australia, dibunuh kucing liar setiap tahun!

Lalu bagaimana caranya untuk mengurangkan ‘penguasaan’ kucing liar daripada terus bermaharajalela, dan apa kaedah yang digunakan oleh pihak berkuasa Australia?

Antara kaedah kejam yang digunakan, adalah dengan menjatuhkan sosej beracun dari udara!

Menurut laporan The New York Timessosej itu diperbuat daripada campuran daging kanggaru, lemak ayam dan sedikit perasa tambahan iaitu racun.

Resepi maut itu harus dihasilkan secukup rasa, kerana ia akan menjadi santapan akhir bagi kucing-kucing yang memakannya.

Kemudian, ia akan dibawa menaiki pesawat sebelum dijatuhkan di beberapa lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan tempat kucing liar ini berkeliaran.

Dan kucing yang terjerat dengan umpan tersebut, akan mati dalam tempoh 15 minit.

Namun ini hanyalah satu daripada beberapa kaedah lain yang dilakukan di seluruh Australia.

Di beberapa lokasi lain misalnya, pihak majlis daerah sanggup menawarkan ganjaran tinggi kepada mana-mana individu yang berjaya menangkap dan menyerahkan kucing liar kepada pihak berkuasa.

Tindakan kontroversi ini ternyata mengundang kritikan dan rasa kurang senang khususnya dalam kalangan pencinta haiwan, yang menuduh ia sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Setakat ini, lebih 160,000 orang telah menandatangani petisyen bagi mendesak kerajaan Australia membatalkan rancangan itu.

 

Baca: “Ayah selalu kutip tulang ayam untuk Johnny” – Baca Kisah Kebaikan Keluarga Melayu Jaga Anjing Jalanan Ni Sehingga…

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Nab Talib

Seorang yang selalu berangan untuk bekerja di Dunder Mifflin Paper Company, dan penggemar berat Morrissey.