“Ini adalah temujanji pembunuhan” – Kenyataan Penyampai Berita Australia Mengenai Serangan Christchurch Buat Semua Terkedu

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



“You’ll have to forgive me, these won’t be my best words…”

Pembaca berita Australia, Waleed Aly — membuka bicara dalam rancangan The Project baru-baru ini dengan kata-kata penuh emosi.

Meneruskan bicara, beliau mengakui enggan mengacarakan program itu meskipun diminta berbuat demikian — kerana merasa terkesan dan terganggu dengan kejadian tragis di Christchurch Jumaat lepas.

Namun, atas rasa tanggungjawab untuk menyampaikan mesej penting berhubung tragedi itu — beliau memutuskan untuk tampil jua di kaca tv.

 

“Saya tidak terkejut. Tiada apa yang berlaku di Christchurch hari ini, mengejutkan saya.”

Waleed kemudian meneruskan percakapannya.

“Antara semua perkara yang boleh saya katakan malam ini — adalah saya kecewa, saya takut dan saya merasa putus harapan. Namun perkara paling tidak jujur untuk saya katakan — adalah saya terkejut.”

Katanya, kejadian di Christchurch bukanlah sesuatu yang menghairankan — sambil memetik kembali beberapa serangan seumpama itu yang turut berlaku terhadap penganut bukan Islam.

“Saya tidak terkejut, apabila enam orang mati ditembak di masjid Quebec dua tahun lalu — atau apabila seorang lelaki merempuh sebuah masjid di London dengan vannya, enam bulan kemudian.”

“Dan saya juga tidak terkejut, apabila sebelas orang Yahudi maut ditembak di sebuah synagogue di Pittsburgh lewat tahun lepas, atau ketika sembilan penganut Kristian mati dibunuh di sebuah gereja di Charleston.”

Waleed seterusnya berkata, “Sekiranya kita semua bersikap jujur, kita tentu menyedari perkara ini sememangnya sudah dijangka.”

Pada ketika itu, kata-kata Waleed menyedarkan penonton bahawa kita semua sedang hidup dalam penafian.

Prejudis dan sikap saling membenci antara umat manusia berlainan agama dan fahaman kini, bukan perkara asing lagi.

Ia memang benar-benar berlaku, dan semuanya didorong oleh ahli-ahli politik yang lebih banyak mengambil kesempatan memanipulasi isu agama — serta memisahkan kumpulan agama dan etnik, sehingga yang menjadi mangsanya adalah orang kebanyakan seperti kita semua.

 

“Ini adalah temujanji pembunuhan.”

“Saya pergi ke masjid hari ini, saya akan ke masjid setiap hari Jumaat — sama seperti mereka yang pergi ke masjid-masjid di Christchurch hari ini.”

“Saya tahu bagaimana keadaannya, detik-detik sebelum tembakan mula dilepaskan. Saya tahu, betapa heningnya perasaan ketika itu apabila mangsa-mangsa cuba ‘memproses’ apa yang berlaku sebelum mereka ditembak — dan betapa terpinggirnya mereka rasa dari kehidupan.”

“Dan saya juga tahu, individu yang melakukan kekejaman ini sedar — betapa tidak bersedianya mangsa-mangsa pada waktu itu,” katanya lagi.

“Ini (solat Jumaat), adalah perkara yang dilakukan setiap minggu oleh mereka (mangsa-mangsa). Dan ini (apa yang suspek rancang) merupakan satu temujanji pembunuhan.”

 

“Not because it was deranged, but because it was familiar.”

Dalam tempoh lima minit di kaca tv itu juga, Waleed berkata beliau merasa takut sebaik membaca salah satu daripada manifesto yang dibuat oleh pengganas tersebut.

Beliau takut, bukan kerana ianya gila dan tidak masuk akal – namun kerana ia sudah seringkali kita dengarkan.

Waleed kemudian menjelaskan mengapa beliau berkata demikian, sambil membacakan bait-bait kenyataan celupar daripada Senator Queensland, Fraser Anning.

“Saya tahu kenyataan ini datang daripada seseorang yang enggan saya namakan ketika ini, yang telah dikritik semua parti dan saya tahu salah satu daripada pemimpin parti yang mengecam beliau — adalah individu yang pernah menyifatkan Islam sebagai suatu penyakit yang perlu ‘divaksinkan’ oleh Australia.”

Peluang itu digunakan sebaiknya oleh Waleed untuk mendedahkan kebobrokan di dalam sistem pentadbiran Australia sendiri, yang dipenuhi pemimpin-pemimpin bersifat perkauman dan mempunyai prejudis mendalam terhadap penganut Islam.

Seperti Anning. Dan ramai lagi yang lain, juga seperti Anning.

Waleed kemudian menutup bicara dengan memberi penekanan serius terhadap kepentingan semua pihak bersatu dalam memerangi keganasan.

“Fahamilah, ini bukan suatu permainan. Keganasan tidak memilih mangsanya,” katanya.

“Semua yang kita ucapkan, untuk memecahbelahkan masyarakat, memburukkan kumpulan tertentu dan melaga-lagakan mereka — ada akibatnya, meskipun bukan jemari kita yang memetik picu senjata tersebut.”

 

Baca: Salahkan Imigran Muslim Jadi Punca Serangan Di Christchurch, Senator Dibaling Telur Sewaktu Temubual

 

 

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Nab Talib

Seorang yang selalu berangan untuk bekerja di Dunder Mifflin Paper Company, dan penggemar berat Morrissey.