Ilmuwan Islam Terlebih Dahulu Cetuskan Teori Evolusi, 900 Tahun Sebelum Darwin Lahir

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Manusia berasal daripada keturunan monyet.

Itu yang disebutkan seorang penyelidik amatur Inggeris, Charles Darwin dalam teori evolusinya mengenai makhluk hidup.

Ianya mencetuskan kontroversi dan perdebatan hebat dalam kalangan cendekiawan dan ilmuwan.

Ada yang taksub dan fanatik dengan teori tersebut, dan kita sebagai umat Islam pula menganggapnya sebagai satu pemikiran sesat — kerana teorinya itu tidak didasari oleh sebarang penemuan saintifik yang nyata.

Manusia, adalah ciptaan paling sempurna kerana ia mempunyai akal dan perasaan.

Namun tahukah anda, sebenarnya sekitar 900 tahun sebelum wujudnya manusia bernama Charles Darwin ini — ada tiga ilmuwan terulung Islam yang sudah pun melakukan kajian mengenai proses evolusi makhluk hidup?

Abu Usman Amr Bahr Alkanani al-Bisri, atau lebih dikenali dalam lipatan sejarah sebagai Al-Jahiz menulis buku mengenai teori yang agak mirip dengan apa yang diutarakan oleh Darwin.

Dalam buku tersebut, beliau menyebut binatang berevolusi demi survival — dan faktor alam sekitar turut mempengaruhi perubahan yang berlaku terhadap spesis-spesis haiwan.

Proses semula jadi itu berterusan berlaku, sepanjang spesis itu berkembang biak.

Yang keduanya adalah Nasir Ad-Din Tusi.

Tusi bukan ilmuwan yang calang-calang. Beliau merupakan seorang arkitek, pakar ilmu hisab, pakar fizik dan cendekiawan biologi yang diangkat oleh Ibnu Khaldun sebagai tokoh Islam berpengaruh Parsi pada zamannya.

Dalam kitab Akhlaq-i-Nasri, Tusi menyatakan bahawa alam semesta ini berasal daripada unsur yang sama dan berevolusi menjadi elemen-elemen seperti mineral, tumbuhan dan sebagainya.

Beliau turut membahagikan tiga jenis makhluk hidup, iaitu manusia, haiwan dan tumbuhan.

Dan yang ketiga, Muhammad Al-Nakhshabi yang merupakan seorang cendekiawan dari Asia Tengah.

Beliau turut mengutarakan pandangan yang hampir serupa, iaitu alam semesta berevolusi kepada pelbagai elemen sehingga menjadi tumbuhan dan pelbagai makhluk lain.

Kepelbagaian teori mengenai evolusi makhluk hidup dan alam semesta ini sebenarnya menerima pelbagai maklum balas berbeza daripada golongan cerdik pandai.

Ada yang berkata ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam kerana Quran sendiri ada menceritakan mengenai proses kejadian haiwan dalam pelbagai sifat, seperti dalam Surah A-Nuur ayat 45 dan ada juga yang menolak.

Apapun, penulisan ini bukanlah bertujuan untuk memperdebatkan lebih lanjut mengenai logik teori tersebut kerana ia memerlukan penelitian mendalam dengan tidak memisahkan kitab Al-Quran daripada kajian kita.

Sekadar untuk memaklumkan, betapa ilmuwan Islam telah terlebih dahulu melangkaui zaman dalam mengkaji alam semesta — namun mereka tidak banyak diperkatakan dalam buku-buku sejarah moden.

 

Baca: Ada Manusia Lain Sebelum Nabi Adam? Ini Teori Konspirasi ‘Pelik’ Kewujudan Manusia Paleolitik Sebelum Adam

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Nab Talib

Seorang yang selalu berangan untuk bekerja di Dunder Mifflin Paper Company, dan penggemar berat Morrissey.