Viral di media sosial baru-baru ini gambar yang dimuat naik oleh seorang individu menunjukkan seorang anggota trafik tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Melalui posting di Twitter itu, lelaki tersebut mempersoalkan bagaimana seseorang yang bekerja sebagai pihak berkuasa boleh melanggar SOP di tempat ramai orang lalu lalang.
Posting tersebut bagaimanapun difahamkan telah dipadam oleh tuan empunya akaun dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya telah tampil memberikan penjelasan susulan gambar viral terbabit.
Menurut Awani, anggota trafik Kuala Lumpur itu telah membuat laporan polis semalam kerana cubaan menjatuhkan maruahnya dan PDRM. Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang bertugas di sekitar Jalan Tar pada hari Rabu.
Anggota berkenaan mengawal jalan raya di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Lorong Tunku Abdul Rahman 7 iaitu kawasan pasar malam mulai jam 1 petang hingga 10 malam, pada Rabu.”
Pada jam 8 malam dia baru berbuka puasa bersama lima rakan sekerja yang lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan TAR dan Jalan Asfahan (berhampiran Sogo).”
Selepas berbuka puasa anggota ini menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasannya dan dipercayai gambar tersebut telah dirakam sebelum dia memakai semula topeng muka dan helmet untuk meneruskan rondaannya.”
Kata Zulkefly, gambar tersebut telah dimuat naik dengan kapsyen bahasa jelik (carutan) yang dilihat seolah-olah mahu menggambarkan anggota trafik itu sengaja tidak memakai pelitup muka dalam khalayak ramai.