in

Daripada Penagih Dadah Kepada Tony Stark, Ini Kisah Turun Naik Pelakon Adiwira Iron Man Yang Korang Perlu Tahu

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Demam Avengers:Endgame tak kebah lagi ke?


Rata-rata peminat francais filem adiwira Marvel Cinematic Universe pastinya berdebar-debar menantikan apa nasib riwayat Iron Man di penghujung filem tersebut.

Bagi yang sudah menyaksikannya, jangan bersedih brader. Buat yang belum nonton, silalah mampir ke bioskop berhampiran dengan segera.

Apa pun, di sebalik kemewahan dan segala kilauan gemerlapan yang dikecapi pembawa watak Tony Stark sebagai anak seni Hollywood ni sebenarnya tersisip satu kisah hitam yang mungkin ada dalam kalangan kita belum pernah tahu.

Kehidupan yang dilalui Robert Downey Jr. sebelum ini, bukanlah seperti apa yang kita semua bayangkan.

 

Pernah ketagihan dadah

Aktor handalan ini pernah beberapa kali keluar masuk mahkamah akibat masalah ketagihan dadah yang dialaminya.

Dalam satu sesi perbicaraan, beliau pernah dipetik sebagai berkata “Taking drugs to me is like having a shotgun in my mouth with my finger on the trigger, and I like the taste of gun metal.”

Sampai ke tahap itu reaksi yang diberikan beliau kepada hakim ketika itu.

Masalah ketagihan narkoba itu sebenarnya berpunca daripada ayahnya sendiri, Robert Downey Sr. yang merupakan seorang pembikin filem underground di Amerika Syarikat.

Datang dari keluarga bermasalah, ditambah pula dengan penceraian kedua ibu bapa pada usia remaja — sejarah kelam seorang Downey Jr. bermula apabila beliau terjerumus ke kancah dadah yang agak kritikal bermula 1991 sehinggalah pada tahun 2000.

 

Pernah dipenjarakan & keluar masuk pusat pemulihan

Ketagihannya kepada alkohol dan dadah turut menyaksikan pelakon itu terpaksa menebalkan muka keluar masuk penjara beberapa kali.

Kerana gagal menghadirkan diri untuk menjalani ujian dadah yang diperintahkan mahkamah, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun.

Namun tempoh itu dipendekkan kepada setahun sahaja.

Pada 2001, beliau ditemukan merayau-rayau di sekitar Culver City, California dengan hanya berkaki ayam dan susulan itu — Downey Jr. ditahan semula kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

Dek kerana itu juga, mahkamah memerintahkan beliau menjalani rawatan pemulihan dan lebih memedihkan — segala tawaran berlakon yang diterimanya pada waktu itu, ditarik semula.

 

Bina semula kerjaya dari bawah

Tamat menjalani rawatan pemulihan, Downey Jr. tidak mendapat sebarang tawaran berlakon kerana telah disenarai sebagai aktor yang high-risk.

Penerbit filem khuatir beliau akan mencetuskan masalah disiplin seperti tidak hadir ke lokasi penggambaran atau berdepan kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada skrip — justeru Downey Jr. disenarai hitam sebagai artis bermasalah.

Namun segalanya mula berubah apabila Mel Gibson memutuskan untuk memberi peluang kedua kepada beliau untuk memegang watak utama dalam filem The Singing Detective.

Atas semangat setiakawan, Gibson dikatakan sanggup mengambil risiko menanggung insurans pelakon itu.

Maka bermula dari situlah, kehidupan Downey Jr. berubah 360 darjah sehinggalah beliau ditawarkan memegang watak utama sebagai Tony Stark dalam filem blockbuster Iron Man.

 

Wajah ikonik Marvel

Kejayaan filem Iron Man telah menutup segala kisah hitam Downey Jr. sebelum ini, yang dipenuhi seribu satu masalah berpunca daripada najis dadah.

Pada 2016, beliau berjaya menduduki tangga ke-enam dalam senarai aktor yang mendapat bayaran tertinggi di Hollywood oleh Forbes.

Dari hanya seorang mat pet yang hampir muflis, kepada individu yang menjayakan sejumlah siri filem superhero yang menjadi kegilaan seluruh dunia dan hidup dalam limpahan kemewahan — kisah kebangkitan Robert Downey Jr. ini dapat dijadikan inspirasi dan iktibar kepada kita semua.

 

Baca: Bos Sewa Satu Hall Wayang Untuk Tengok Avengers Sebab Takut Pekerja Spoil Cerita

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.