“Saya rasa sebak lihat dia berdiri atas pentas” – Lelaki Kongsi Detik Indah Adik Sindrom Down Bergraduasi

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Kemesraan dan kasih sayang yang ditonjolkan seorang abang terhadap adiknya yang merupakan insan istimewa sering mendapat perhatian netizen apabila gambar atau video adik beradik ini dimuatkan ke laman Instagram @makhlokmacho.

Digelar sebagai Abang Yang Penyayang, Hammad Zamakhashari Mohd Noor, 30, baru-baru ini telah berkongsi detik bermakna di dalam hidup apabila adik perempuannya, Afiatul Salsabiila Mohd Noor telah menerima sijil graduasi bagi program pendidikan khas integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Sumber: Instagram

Ternyata Hammad atau lebih mesra dengan nama Bengah ialah insan yang paling gembira melihat pencapaian adiknya yang digelar Cik Pia menamatkan persekolahan.



“Jujurnya, saya sebagai abang dan antara yang paling rapat dengan Afiatul, rasa sebak bila melihat dia berdiri di pentas pada majlis graduasi.

“Sebak rasa gembira sebab dia dah sampai ke tahap ni, untuk tamat persekolahan. Saya bergurau dan bermanja dengan gelarkan dia sebagai ‘kakak tingkatan tujuh’ sebab umur dia sekarang dah 19 tahun,” katanya kepada mStar.

Sumber: Instagram
Sumber: Instagram

Menurut Bengah, Afiatul yang mengalami sindrom down telah bersekolah dalam aliran pendidikan khas di sekolah tersebut selama tujuh tahun dan ini ialah tahun terakhir adiknya di situ.

Pun begitu, apabila ada di kalangan netizen yang menyoal tentang hala tuju Afiatul selepas tamat persekolahan, Bengah hanya meletakkannya semua di tangan Tuhan.

“Ramai yang tanya selepas ini Afiatul akan bekerja ke, akan sambung belajar ke? Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tapi apa yang lebih penting hidup perlu diteruskan.



“Ada rezeki daripada Allah yang tertulis untuk dia. Cuma kita yang tak tahu. Tapi Bengah dan keluarga akan terus membimbing dia, insyaAllah,” ujar Bengah.

Untung Cik Pia ada abang yang penyayang…

Sumber: Instagram
Sumber: Instagram
Sumber: Instagram

Bengah yang sering merakam video menarik di Instagram bersama adiknya itu juga berkata, dia tidak menghalang minat Afiatul jika adiknya itu ingin menonjolkan bakat secara spontan semasa mereka membuat persembahan video bersama.

Sementara itu, Bengah juga sempat berkongsi semangat dengan keluarga lain yang turut mempunyai insan istimewa seperti adiknya, Afiatul.

“Teruskan bersama mereka, jangan putus harapan untuk berusaha meyakinkan mereka supaya hidup seperti biasa, sebagaimana kita yang lain. 



“Saya juga manusia biasa, tidak sempurna dan ada juga kekurangan tetapi saya cuba berusaha menjadi abang yang penyayang untuk Afiatul dan contoh yang terbaik buat sesiapa yang merasa terbeban atau malu dengan insan istimewa,” kata Bengah lagi.

Sumber: Instagram

Seronok lihat hubungan adik dan abang yang rapat macam ni. Anda boleh saja jengah laman Instagram Bengah iaitu @makhlokmacho kalau nak tahu kehidupan dua adik beradik ni. 

Baca: Pereka Fesyen Tempatan Ambil Model Sindrom Down Untuk Kempen Raya Dipuji Netizen

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!