Jika sebelum ini seorang lelaki pernah minum racun perosak live di Facebook dan mendakwa mahu semua orang melihatnya membunuh diri, kali ini ada seorang remaja perempuan pula dari Thailand cuba melakukan sesuatu di luar jangkaan di Facebook Live miliknya.
Menurut Nextshark, seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nitaya sedang dijejaki oleh pihak polis kerana telah terjun dari Jambatan Bangkok’s Rama 8 dua hari yang lalu. Remaja berusia 18 tahun tersebut didapati merakam video live di Facebook sewaktu melakukan terjunan.
Nitaya dilaporkan telah menaiki kenderaan milik seorang pemandu teksi dikenali sebagai Pataradanai Noomsrinart untuk membawanya ke jambatan berkenaan. Setibanya di destinasi yang dituju, remaja tersebut bagaimanapun tidak membenarkan pemandu teksi itu untuk terus pergi.
Malah, remaja terbabit dikatakan telah membayar 500 Thai Baht (bersamaan RM60) kepada pemandu teksi tersebut untuk membantunya merakam video live di Facebook! Pada kejadian jam 2 pagi itu, Natiya yang dilihat berada dalam keadaan mabuk sedang menyanyi lagu tentang perpisahan.
Dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya sebelum insiden tragis itu, Natiya kemudiannya memanjat dan duduk di atas jambatan sambil meminum arak. Semua insiden ini dirakam oleh Pataradanai di Facebook live milik Natiya. Remaja itu yang sedang duduk di atas jambatan kemudiannya tiba-tiba terjun ke dalam Sungai Chao Praya.
Terkejut dengan tindakan remaja perempuan itu, pemandu teksi tersebut segera menutup rakaman video yang dibuat olehnya lalu segera menghubungi pihak polis. Rakaman kamera litar tertutup mendapati bahawa Natiya terjun dari jambatan tersebut dengan sendirinya tanpa ditolak atau dibantu sesiapa.
Polis peronda yang menerima panggilan kecemasan dibuat oleh pemandu teksi tersebut menemui telefon bimbit, kad pengenalan Natiya dan satu botol minuman keras di tempat kejadian. Sewaktu menjelaskan insiden yang berlaku kepada pihak polis, pemandu teksi itu menceritakan bahawa Natiya kelihatan begitu kecewa dan sedih dengan kisah percintaannya.
Pun begitu, Natiya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk membunuh diri. Pataradanai juga memaklumkan bahawa dia melihat sendiri Natiya jatuh ke dalam sungai sebelum terkapai-kapai kelemasan.
Pihak polis menghubungi saudara Natiya dan mendapati bahawa remaja tersebut meninggalkan rumahnya dua tahun lepas untuk tinggal bersama teman lelaki.
Bergaduh dengan pasangan atau putus cinta memang perkara yang menyedihkan, tetapi janganlah sampai memudaratkan keselamatan diri sendiri kerana terlalu kecewa.
Baca: “Saya akan biar kamu semua tengok saya mati” – Lelaki Minum Racun Perosak Live Di Facebook