“Perempuan umur 15 tahun eloklah bernikah” – Ustaz Azhar Idrus Dituduh Galak Perkahwinan Kanak-kanak

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Nama Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI memang sudah tidak asing lagi di negara kita. Sesi ceramah dianjurkan oleh penceramah bebas ini seringkali menerima kehadiran ribuan penonton yang meminati gaya penyampaiannya. Disampaikan dengan bahasa loghat Terengganu, caranya bersahaja tetapi padat dan mencuit hati.

Pun begitu, nama UAI terpalit kontroversi sejak beberapa hari yang lalu dek kenyataan yang diberikan olehnya dalam satu sesi soal jawab pembaca kepada sebuah akhbar tempatan dalam talian. Dalam temubual tersebut, satu soalan tentang hukum perkenalan antara lelaki dan perempuan telah diajukan kepadanya, lapor The Star.

Sumber: Takusahrisau

“Bolehkah Ustaz jelaskan tentang hukum berkenalan antara lelaki dan perempuan dan batasannya dalam Islam?”



Dalam jawapan yang diberikan, UAI mengatakan bahawa perempuan belasan tahun tidak boleh berkenalan dengan lelaki kerana hukumnya haram melainkan ingin menjadikan lelaki tersebut sebagai suami. Selain itu, UAI juga berpendapat bahawa perempuan wajar berkahwin setelah mereka didatangi haid.

“Orang perempuan umur 15 tahun eloklah bernikah. Ia umur tahun terakhir haid. Biasa orang perempuan Melayu haid umur 13 tahun. Ada yang berumur 12 tahun. Lazimnya berumur 11 hingga 13 tahun…Jadi yang terbaik umur 15 tahun. 15 tahun molek bernikah,” kata Azhar.

Gambar hiasan

Penceramah tersebut turut menyatakan bahawa perempuan zaman sekarang berkahwin lambat kerana peluang pendidikan yang luas. Bukan itu sahaja, kaum perempuan dikatakan kerugian banyak perkara jika tidak berkahwin awal-awal.

“Bagi menyambung pelajaran seterusnya, umur makin meningkat. Jadi kalau begitu, hendak bernikah ketika berumur 28 tahun? Sedangkan ketika berumur 28 tahun sudah tiada orang masuk meminang. Kalau ada pun sudah jadi murahlah harganya. RM15 atau RM16 sahaja harganya bila sudah berumur 28.”

“Kalau yang meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk jadi doktor pakar pula, habis belajar ketika berumur 32 tahun, sedangkan ketika itu tiada suami. Kita sudah selalu beritahu perkara macam ini. Jadi bila sudah lewat, sudah banyak benda yang kita rugi.”



Sumber: The Malay Mail

Oleh sebab kenyataan yang dikeluarkan, UAI dikutuk oleh sesetengah pihak yang merasakan bahawa penceramah bebas ini menggalakkan perkahwinan kanak-kanak. Datuk Noor Farida  Ariffin, jurucakap kumpulan G25 meluahkan rasa kecewa kerana UAI yang hidup dalam abad ke-21 masih berfikiran seperti itu.

“Dalam Islam, para nabi sangat menghormati wanita. Wanita diberikan banyak hak, mendapat pembahagian harta..tapi abad ke-21 ni masih ada ustaz yang fikir wanita itu satu komoditi dan bukannya manusia…untuk berkata perempuan kena berkahwin umur 15 tahun, itu menggalakkan perkahwinan kanak-kanak namanya,” kata Farida.

Gambar hiasan

“Bahasa yang digunakan Azhar bukan sahaja berbahaya kerana menggalakkan perkahwinan kanak-kanak, tapi ia juga memupuk budaya yang meletakkan wanita sebagai objek seksual,” kata wakil dari Sisters in Islam pula.

Selain itu, ada juga yang merasakan bahawa jawapan yang diberikan oleh UAI lebih kepada pendapat peribadi berbanding dengan apa yang dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran.

“Nabi Muhammad kahwin dengan Khadijah masa umur Khadijah lebih 40 tahun tapi ustaz ni boleh cakap nilai perempuan umur 28 tu RM15 je. Ayat (Quran) mana yang dia petik ni?” kata Mohamed Tawfik Ismail, bekas anggota parlimen Sungai Benut.



Apa pula pendapat korang?

Baca: Kerana Saling Mencintai, Pelajar 16 Tahun Langgar Undang-undang dan Pilih Untuk Kahwin

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Asma' Razak

Suka dinosaur tetapi minat filem bergenre futuristik, bercita-cita mahu jadi vegetarian dan berharap ikan diklasifikasikan sebagai tumbuhan.