Penjual Buah Guna Media Sosial Untuk Cari Pemilik Dompet Berisi RM3,000

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Kuasa laman sosial memang tidak dapat dinafikan lagi. Selalunya kita dengar kisah individu menjadi terkenal dengan kuasa tular media sosial. Bukan itu sahaja, media sosial juga boleh menjadi platform untuk membantu mereka yang tidak kita kenali.

Ini dibuktikan oleh seorang lelaki penjual buah yang menggunakan laman Facebook untuk membantu mengembalikan barang kepunyaan insan yang tidak dikenalinya. Terjumpa sebuah dompet di belakang gerai buah miliknya, lelaki dikenali sebagai Abdul Jalil Lazim tidak berlengah untuk menggunakan media sosial bagi mencari pemilik dompet tersebut, lapor Harian Metro .

Sumber: Facebook

Jalil dikatakan terjumpa dompet tersebut sewaktu dia sedang bekerja dan melayan pelanggan di gerai buah miliknya yang terletak di Pantai Remis, Selangor. Dengan niat mahu memeriksa dompet tersebut untuk mengembalikannya, Jalil terkejut apabila mendapati terdapat wang berjumlah lebih RM3000 di dalamnya!



“Saya jumpa dompet dan buka ada duit banyak. Sudah pasti wang itu amat diperlukan pemiliknya,” kata Jalil.

Nekad mahu memulangkan dompet tersebut namun tidak tahu siapa pemiliknya, Jalil memuat naik sebuah video sebelum dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Sumber: Facebook

Baru sahaja satu jam memuat naik video tersebut, pemilik dompet berkenaan yang dikenali sebagai Mazlina Yusoff datang menemui Jalil untuk mendapatkan barangannya. Mazlina memberitahu bahawa dia langsung tidak sedar bahawa dompetnya telah hilang jika tidak kerana dimaklumkan oleh rakan-rakannya yang melihat entri Jalil di laman sosial.

“Duit dalam dompet itu untuk perbelanjaan anak sekolah. Saya dan isteri panik, malah berasa peluang untuk jumpa semula dompet itu tipis kerana banyak wang dalam beg itu sekitar RM3,000. Nasib baik jumpa semula dan peniaga itu jujur,” kata suami Mazlina.

Sumber: Harian Metro

Jalil begitu gembira kerana berjaya memulangkan dompet tersebut kepada pemiliknya dan mendakwa hatinya pasti tidak akan tenang jika tidak berjumpa semula dengan pemilik dompet. Lelaki jujur ini berterima kasih kepada rakyat Malaysia prihatin yang sudi membantunya di laman sosial.



Waaah! Bagusnya pakcik ni usaha bersungguh-sungguh nak pulangkan hak milik orang lain. Semoga Jalil dimurahkan rezeki di masa akan datang!

Baca: Lelaki Beli Sejambak Bunga Daripada Nenek di Tepi Jalan, Namun Tak Sangka Dia Terjumpa…

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Asma' Razak

Suka dinosaur tetapi minat filem bergenre futuristik, bercita-cita mahu jadi vegetarian dan berharap ikan diklasifikasikan sebagai tumbuhan.