Pemilik Restoran Arab di Johor Bahru Baik Hati Beri Pelanggan Bayar Seikhlasnya

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain”. Setiap manusia digalakkan untuk bersedekah dan menghulurkan bantuan sesama manusia. Tidak kiralah bantuan dari segi barangan, wang ringgit atau membantu meringankan beban orang lain.

Itulah yang dilakukan pemilik restoran makanan arab di Taman Rinting, Masai, Johor Bahru ini yang tidak meletakkan harga pada pelanggan untuk membayar. Menurut The Star, Zulrahim Yusof, 45, percaya bahawa niat murninya akan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan saling mengambil berat.

Sumber: The Star

Disebabkan itu, pemilik Restoran Al-Hanin ini mengamalkan konsep membenarkan pelanggan membayar mengikut keikhlasan hati masing-masing. Menurut usahawan itu, pelanggan bebas untuk membayar pada harga yang sama, harga lebih rendah mengikut bajet mereka atau harga yang lebih tinggi sebagai sumbangan ikhlas.



Para pelanggan diberi kesempatan membayar mengikut kehendak masing-masing pada setiap hari Jumaat sejak promosi itu bermula 15 September lalu.

“Saya letak kotak besar di sebelah kaunter bayaran dan ramai pelanggan menyangka saya bergurau apabila saya beritahu bahawa mereka boleh bayar mengikut kehendak mereka.”

Sumber: Facebook

Menurut Zulrahim, idea itu datang selepas dia berjumpa seorang lelaki warga emas bersama keluarganya di mana dia telah mempelawa mereka untuk makan malam di restoran berkenaan.

“Dia beritahu saya dia tidak mampu untuk membawa keluarganya makan di luar dan perkara itu menyedihkan saya kerana masih ramai di luar sana yang senasib dengannya disebabkan kekangan kewangan.”

Zulrahim yang sudah terlibat dalam perniagaan makanan sejak 2006 kemudian berbincang tentang hal berkenaan bersama rakannya. Sebagai rakyat Malaysia, dia mahu membantu rakyat mengenyangkan perut mereka dengan makanan yang sedap.



Sumber: Facebook

Pada hari pertama promosi itu dijalankan, restoran berkenaan dipenuhi pelanggan daripada pelbagai bangsa sehinggakan tiada tempat duduk kosong dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

“Kebanyakan daripada mereka (pelanggan) merupakan pelajar dan golongan kurang berkemampuan termasuklah ibu tunggal, dari daerah berdekatan.

“Saya beritahu mereka harga asal makanan seperti nasi mandy, nasi kabsah dan nasi maqlubah yang dihidangkan di restoran dan terpulanglah kepada mereka mahu bayar mengikut keikhlasan masing-masing.”

Menurutnya lagi, harga asal bagi nasi arab yang dihidangkan di dalam dulang besar adalah RM60 manakala untuk seorang makan harganya di antara RM12 hingga RM15, bergantung kepada pilihan pelanggan yang memilih ayam atau kambing.

Sumber: Facebook
Sumber: Facebook

“Saya dapat pulangan yang memuaskan daripada promosi itu dan ianya bukan hanya keuntungan semata-mata.



“Melihat muka bahagia pelanggan, terutamanya yang miskin, adalah apa yang saya mahukan.”

Zulrahim memberitahu bahawa dia sedang merancang untuk mengadakan promosi tersebut setiap hari, bergantung kepada maklum balas yang diterima dari pelanggan.

“Saya sangat berharap dengan tindakan saya yang tidak seberapa ini dapat menggalakkan pelanggan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.”

Sungguh murni apa yang dilakukan pemilik restoran ini. Semoga dijadikan contoh untuk kita semua agar tidak berkira untuk bersedekah dan menghulurkan bantuan.

Baca: Peniaga Restoran di Marang Baik Hati Beri Pelanggan Tambah Makanan Secara Percuma

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Sue Idris

Suka thriller movies, suka kucing, suka makan, suka kopi, suka melancong, suka shopping, suka berangan, eh suka semua lah!