in

Pelajar Tiba-tiba Buta 2 Minggu Sebelum SPM, Tak Patah Semangat Untuk Teruskan Peperiksaan

F Buta

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bayangkan jika hari ini kita celik melihat dunia, tiba-tiba esok nikmat itu ditarik Tuhan dengan serta merta. Dunia yang indah dan penuh warna telah berubah menjadi gelap dan gelita. Pasti anda sedih dan takut kan?


Itulah dugaan yang menimpa seorang pelajar cemerlang yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi ini, apabila dia telah ditakdirkan hilang penglihatan dua minggu sebelum peperiksaan bermula, lapor Berita Harian.

Walau bagaimanapun, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, Johor Bahru, Khairulimran Adam, tetap gigih menghadirkan diri untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 awal pagi tadi meskipun telah dinasihatkan untuk ditangguhkan.

Buta 1
sumber: bh

Detik hitam dalam hidup Khairulimran ini bermula pada dua tahun lalu apabila matanya mula mengalami masalah ketika menduduki peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3).

“Dua tahun lalu saya boleh melihat dengan jelas, namun ketika mengambil PT3, mata saya mengalami masalah. Saya mendapatkan rawatan selain menjalani pembedahan di Hospital Selayang dan kembali boleh melihat,” katanya.

Namun situasi matanya itu bertambah buruk pada 23 Oktober lalu apabila dengan tiba-tiba pandangannya menjadi kabur dan gelita.

“Pada 23 Oktober lalu, selepas selesai solat Subuh berjemaah di sekolah, saya sedar penglihatan saya berbentuk hitam dan semakin lama semakin kabur. Jadi, saya terus menghubungi ibu di rumah.

“Keesokan hari, keluarga membawa saya membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dirujuk ke Hospital Selayang sekali lagi dan doktor di sana mengesahkan peluang untuk saya melihat semula agak tipis,” ujarnya sedih.

Susulan daripada pemeriksaan itu, Khairulimran yang mendapat keputusan 7A 2B ketika peperiksaan percubaan lalu terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi selama empat jam pada 27 Oktober untuk mengisi cecair khas bagi merapatkan semula kornea matanya.

Bagaimanapun pembedahan tersebut tidak membuahkan hasil tetapi Khairuliman nekad untuk terus menduduki peperiksaan meskipun terpaksa menggugurkan satu subjek iaitu Pendidikan Seni Visual yang memerlukan calon melukis daripada sembilan subjek yang diambil.

Saya suka membaca termasuk bahan bacaan agama, jadi saya yakin apa yang Allah berikan ini dugaan untuk diberikan satu ganjaran lebih besar daripada itu. Itulah yang membuatkan saya kuat semangat dan tekad untuk mengambil peperiksaan.”

Hebatnya tahap kesabaran Khairulimran ni! 

22780405 1299978246815755 1753236715788861008 N
sumber: facebook

Musibah yang menimpa Khairulimran ini juga membuatkan seluruh keluarganya terkejut serta terkesan dengan apa yang berlaku. Menurut abangnya, Khairulamirin Adam, 23, berkata,

“Kami semua sedih dan sebak pada saat Khairulimran merayu untuk melihat wajah ibu dan ayah kami buat kali terakhir sebelum menjalani pembedahan.

“Apa pun, semangat dia tetap kuat untuk menduduki SPM dan saya turut membantu dia dengan membacakan semua buku untuknya ketika mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya telah menghubungi pengurusan Hospital Sultanah Aminah bagi mencadangkan Khairulimran menduduki peperiksaan di situ sebagai calon khas.

Buta 2
sumber: bh

“Mereka bersetuju untuk menempatkan Khairulimran pada bila-bila masa, namun terpulang kepada calon ini dan keluarga.

“Cadangan itu membolehkan dia selesa menjawab peperiksaan kerana saya difahamkan Khairulimran terpaksa menjalani prosedur rawatan di mana beliau terpaksa meniarap selama 15 jam sehari bagi memulihkan semula kornea pada matanya,” katanya ketika melawat calon peperiksaan tersebut.

Khairulimran yang berkaca mata hitam bersama jurubahasa dan jurutulis daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia dilihat tenang menjawab soalan Bahasa Melayu Kertas 1 di dewan peperiksaan sekolahnya pagi tadi.

Semoga terus sukses Khairulimran dan semua calon SPM di luar sana! Usaha dan kegigihan tangga kejayaan seorang pelajar. Gambate! 

Baca: Hidup Susah Sejak Kecil Kerana Status Pelarian, Remaja Buktikan Tiada Yang Mustahil dan Terima Biasiswa Penuh

Biasiswa

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.