in

Kronologi Kes Farid Kamil Tampar Anggota Polis dan Positif Dadah

Dfk

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini kecoh apabila industri hiburan digemparkan dengan berita aktor dan pengarah terkenal bergelar Datuk, Farid Kamil Zahari, 37, ditahan polis kerana bertindak ganas dengan menampar anggota polis dan menendang orang awam.


Walau bagaimanapun, syukurlah detik-detik hitam yang dilalui aktor ini telah pun berakhir apabila dia telah dibebaskan dengan ikat jamin semalam selepas lima hari berada dalam tahanan reman.

Berikut kami senaraikan kronologi kejadian kes Farid Kamil:

 

1. Mengamuk di Balai Polis Trafik Kota Damansara

Menurut laporan Harian Metro pada 11 Januari lalu, Datuk Farid Kamil telah ditahan selepas dikatakan mengamuk dengan menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada jam kira-kira 1.20 petang.

Farid Kamil Tampar Polis
sumber: gempak

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din telah mengesahkan kejadian tersebut dan mendakwa suspek telah menampar anggota polis yang bertugas di bahagian kaunter.

 

2. Tunjuk WhatsApp 300 Artis Hutang Ah Long 

Siasatan awal mendapati Farid telah datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis berkaitan kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota polis trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, dia menunjukkan WhatsApp 300 artis hutang ah long, lapor Harian Metro. Eh pulak dah? 

152E 1
sumber: mmo

Selepas menunjukkan mesej tersebutlah dikatakan Farid tiba-tiba naik angin dan menampar anggota polis selain turut menendang dua orang awam yang berada di lokasi tanpa mereka melakukan sebarang provokasi. Hmm pelik kan? 

 

3. Disahkan Positif Dadah Jenis Ganja dan NPS

Selepas tersebarnya penangkapan Farid, pihak polis mengeluarkan kenyataan yang mendapati pelakon filem Tombiruo ini rupa-rupanya positif dadah jenis ganja selepas membuat ujian air kencing.

Image 1
sumber: kosmo!

Malah menurut MMO, Farid yang telah ditahan reman sering berhalusinasi dan emosinya berada di dalam keadaan tidak stabil sehingga pihak polis kemudian (pada 15/1/2018) mengesyaki pelakon tersebut mengambil dadah jenis baru iaitu new psychoactive substance (NPS) yang juga digelar dadah zombi. 

 

4. Sempat Bigo Live Sebelum Ditahan?

Semenjak penahanan Farid Kamil, pelbagai berita pelik yang timbul menambahkan sensasi kepada kes ini. Antaranya ialah tersebar video menunjukkan Farid bersama pelakon Sofi Jikan bermain aplikasi Bigo Live. Netizen yang melihat rakaman live berkenaan mendakwa video tersebut telah dirakam beberapa jam sebelum Farid bertindak aneh dan mengamuk di balai polis.

Farid Kamil Bigo
sumber: youtube

Malah berdasarkan rakaman tersebut, ramai yang mendakwa aktor berkenaan sudah pun berada di dalam pengaruh dadah walaupun Farid kelihatan tenang dalam menjawab pelbagai soalan peminat berkaitan filem dan drama lakonannya menerusi aplikasi itu.

 

5. Tampar pelakon senior, bawa pistol ke set 

Tidak cukup dengan tularnya video rakaman Bigo Live, timbul pula berita yang mengatakan suami kepada aktres Diana Danielle ini menampar pelakon senior Ridzuan Hashim, 53.

Mhs2017 08 04 Wm Throwback Ridzuan Hashim 1 Copy
sumber: media hiburan

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 petang, sehari sebelum Farid ditahan itu terjadi di studio milik Sofi Jikan yang juga pada ketika itu berlangsungnya penggambaran drama arahan pengarah Shuhaimi Lua Abdullah, lapor Harian Metro.

“Tiba-tiba Farid masuk dan bertanya ada baju tak. Saya beritahu itu semua baju pelakon dan saya terus tunduk memakai stokin. 

“Entah kenapa dia terus tampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa, dia terus lari keluar dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya,” cerita Ridzuan yang memaafkan Farid dan tidak mahu berdendam dengannya.

Di samping itu, pengarah Shuhaimi Lua juga turut mendedahkan bahawa dia terlihat Farid membawa pistol ke lokasi penggambaran tersebut. 

Shuhaimi Lua
sumber: beautifulnara

“Saya melihat dia membawa pistol yang berada di pinggangnya, tapi tidak tahu keaslian pistol itu. Memang keadaan dia tidak terurus, malah dia tidak memakai selipar,” katanya.

Walau bagaimanapun, kenyataan pengarah drama ini disangkal adik Farid, Fadzil Zahari yang mengatakan abangnya hanya membawa pistol mainan dan tidak memahami motif disebalik dakwaan Shuhaimi itu.

 

6. Alami Depresi dan Tekanan Rindukan Anak

Dalam pada itu, keluarga Datuk Farid Kamil tidak menolak kemungkinan apa yang menimpa pelakon dan pengarah tersebut disebabkan tekanan perasaan kerana sudah lama tidak bertemu dua anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

Farid Kamil Diana 3
sumber: beautifulnara

Adik kepada pelakon tersebut, Fadzil Zahari, 34, juga tidak menolak kemungkinan abangnya mempunyai masalah mental disebabkan hal tersebut.

“Saya bertemu Farid tiga hari sebelum dia ditahan dan dia ada mengadu katanya tidak bertemu dengan anak-anaknya sudah dua hari.

“Masa jumpa dekat balai pun dia tanya soalan sama, memang dia merindui anak-anaknya,” katanya.

Untitled 5
sumber: blog

Malah menurut seorang lagi adiknya, Anis Anwar, mereka sekeluarga juga merancang untuk membawa pelakon tersebut mendapatkan rawatan kaunseling.

 

7. ‘Diana I Love You’

Kemunculan Datin Diana Danielle di Mahkamah Magistret Petaling Jaya buat pertama kalinya semalam (16 Januari 2017) telah menarik perhatian media yang berkumpul di kompleks mahkamah tersebut.

Diana
sumber: kosmo!

Farid yang menyedari kehadiran isterinya itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kerana beliau sering mengharapkan isterinya datang memberi sokongan moral kepadanya yang sedang berhadapan dengan situasi getir ini.

“Saya sayang keluarga saya, dan rindukan anak-anak saya. Melihat isteri saya datang hari ini, saya sangat gembira. Saya sayang awak, Diana,” katanya sebelum dibawa masuk ke dalam bilik reman.

Syukurlah kasih sayang Diana dan Farid masih utuh! 

 

8. Dibebaskan Dengan Ikat Jamin RM12,000

Selepas didakwa atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan yang menyebabkan kecederaan dan dua lagi disebabkan berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas, Farid Kamil akhirnya dibebaskan polis.

91097Bd4 7E1B 40E5 Ae5E A00Fdde2395A 640X400
sumber: blog

Pelakon yang terkenal dengan filem 7 Perhentian ini hanya menggelengkan kepala (tidak mengaku bersalah) setiap kali pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Nor Ariffin Hisham membenarkan ikat jamin RM12,000 bagi keempat-empat pertuduhan. Manakala tarikh 5 Mac diputuskan sebagai sebutan semula kes. Farid Kamil juga dibebaskan dengan jaminan polis bagi kes narkotik.

Bh
sumber: berita harian

Syukurlah kes ini akhirnya menemui jalan penyelesaian. Syabas juga kepada barisan artis industri hiburan kita yang tidak putus-putus memberi sokongan buat Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle dalam melalui detik sukar dalam hidup ini. Diharapkan Farid dan keluarga bertenang serta diberikan kesabaran dalam menangani isu ini di masa hadapan.

Semoga Farid terus tabah! 

Baca: Rakan Artis Beri Kata-kata Semangat Buat Farid Kamil Berkaitan Isu Ditahan Polis

Rakan Artis

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.