in

“Kenapa suap makanan pada saya? Saya pembunuh” – Pelajar 10A Berubah Jadi Pembunuh Kerana Dadah

Drug 1200X630

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak dari dalam perut ibu dan dilahirkan ke dunia ini, tiada siapa tahu apakah pengakhiran hidup kita. Meskipun segalanya sudah ditentukan Tuhan, kita masih punya pilihan untuk memilih apa yang terbaik buat diri kita. Tersalah pilih, binasalah masa depan hidup ini.


Ia samalah seperti kisah yang dikongsikan Nadiah Yusof di laman Facebook mengenai seorang lelaki yang asalnya cemerlang di dalam SPM namun terjebak dalam kes pembunuhan yang kejam.

Berikut apa yang diceritakannya:

“Kes remaja yang membakar tahfiz mengingatkan saya kejadian lapan tahun lepas ketika saya masih seorang pelatih (perubatan).

“Saya terima seorang pesakit awal 20-an yang ditetak dengan parang di kedua-dua belah tangannya. Kira-kira tak lebih dari 10 luka dalam di sana. Dia datang bersama-sama sepasukan anggota polis dalam keadaan separuh sedar.”

Polis Tangkap 2
gambar hiasan

Bagi Nadiah inilah kali pertama dia melihat luka seperti itu. Hasil maklumat dari pihak polis, lelaki itu difahamkan telah ditangkap kerana merompak dan membunuh tiga orang penghuni sebuah rumah iaitu wanita dan anaknya berusia tiga tahun serta pembantu rumah.

“Tak bernasib baik, belum sempat melarikan diri, sang suami pulang ke rumah dan menangkapnya. Akibat amarah, si suami menetak (suspek) dan orang kampung mencurah cuka pada lukanya. Padanlah separuh masak isinya.”

Namun apabila diteliti pada wajahnya, Nadiah tak sangka lelaki sebegitu nekad melakukan jenayah yang kejam.

“Saya lihat betul-betul wajahnya. Sampai sekarang saya masih boleh ingat wajahnya. Orangnya masih muda, wajah putih bersih tak nampak seakan penjenayah. Janggut sejemput seperti seorang ustaz layaknya. Benarlah kata orang, jangan menilai orang dari rupa atau luarannya,” kata Nadiah.

Hal ini diakui apabila lelaki tersebut merupakan seorang penagih dadah. Malah daripada apa yang diketahui Nadiah, pesakitnya itu telah mengambil 16 biji pil ekstasi sebelum memecah masuk rumah.

Yaabot Ecstasy1 Copy
gambar hiasan

Dalam keadaan tidak sedar, lelaki itu membunuh semua penghuni rumah. Malah apa yang lebih mengerikan ialah anak kecil berusia tiga tahun telah ditemui mati di dalam bilik air dalam keadaan perutnya terburai! Aduhaiiii! 

“Bila masuk ke wad, social history lebih terperinci didapati. Kisah hidup anak muda ini tragis. Dia adalah pelajar cemerlang (10A) di dalam SPM. Malah ditawarkan jurusan perubatan.

“Tetapi dia terkesan dengan perceraian kedua ibu bapanya. Dia tidak dipedulikan, maka dia menentukan hidupnya sendiri. Dia berhenti belajar dan terlibat dengan najis dadah.”

Calon 10A Spm 2013 Seluruh Negeri
gambar hiasan

Aduhai kenapa sampai jadi macam ni??

Nadiah terkesan apabila mengetahui tiada seorang pun dari ahli keluarga pesakitnya ini mahu mengakui mereka mempunyai pertalian darah dengannya apabila dihubungi. Dia juga tidak menerima sebarang lawatan dari sesiapa.

“Begitulah dadah memusnahkan segalanya. Walaupun pesakit ini bekerja, tetapi ianya tidak mampu menanggung desakan ketagihan dadah. Dalam dua hari habis duit gaji sebulan untuk membeli dadah. Habis duit gaji, terpaksa mencuri.

“Natijahnya terpalit pada insan tak berdosa.” 

00 71
gambar hiasan

Melalui pengalaman Nadiah sendiri, dia mengakui 90% anggaran kes rogol, sumbang mahram dan sodomi terlahir dari broken family. Anak-anak remaja bebas berkawan dengan sesiapa saja tanpa pantauan ibu bapa. Mungkin sudah tiba masanya ibu bapa jadi sedikit peka akan pergaulan anak-anak mereka?

“Periksa diri kita sebagai ibu bapa. Kita adalah acuan mereka. Jika hasil tidak molek, acuannya yang tak kena. Berhentilah menyalahkan orang lain sebaliknya berlapang dada memperbaiki diri kita,” pesan Nadiah.

Pun begitu, kisah pesakitnya yang membunuh itu tidak berakhir di situ saja. Akibat daripada perbuatannya, dia tidak berani didekati sesiapa. Malah Nadiah sendiri masih ingat akan soalan yang ditanya remaja itu ketika dia sudah ‘sedar’ dan tahu akan perbuatannya membunuh tiga nyawa.

Kenapa awak suap makanan pada saya? Saya pembunuh.”

Sebab kamu manusia… manusia buat silap. Kalau kamu bertaubat boleh jadi kamu lebih mulia dari saya.”

Siapa sangka seorang pelajar cemerlang dan bakal memiliki masa depan yang gemilang akan mengakhiri hidupnya di tali gantung kerana dadah dan masalah keluarga?

Ingatlah dalam setiap masalah, pasti ada jalan penyelesaian yang terbaik buatnya. Jangan sia-siakan hidup dengan dadah dan jenayah. 

Baca: Gelandangan Kongsi Kisah Menganggur Kerana Lambakan Pekerja Asing Yang Boleh Dibayar Murah

Gelandangan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.