in

Kenali Wan Nur Mafudah, Anak Melayu Pertama Menjadi Juara Peperiksaan ACCA Dunia

Acca Feature

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Siapa sangka sungguhpun pernah dihalang daripada mendalami ilmu dalam bidang perakaunan, gadis yang berusia 21 tahun ini telah berjaya membuktikan minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang telah membawa kejayaan besar kepada dirinya.


Anak jati Kampung Tok Raja Jertih bernama Wan Nur Mafudah Wan Yusof ini telah berjaya mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun atau ACCA yang diumumkan baru-baru ini, lapor Sinar Harian. Wah tahniah!

Mafudah
sumber: mstar

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik ini masih belajar di tahun ketiga Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC) Shah Alam telah dinilai daripada semua pelajar yang menduduki kertas ACCA di IPT dunia dan berjaya memperolehi 95 peratus markah. Ini sekaligus menjadikan Wan Nur Mafudah sebagai pelajar yang mendapat markah tertinggi di dunia dalam peperiksaan tersebut! 

Sebelum ini, pelajar Melayu pernah mendapat tempat kedua, ketiga dan keenam, namun inilah kejayaan tertinggi yang pernah dirangkul sejak tahun 2015 hingga tahun lalu. Mafudah telah menerima anugerah di INTEC yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Saya amat meminati mata pelajaran Matematik sejak sekolah rendah lagi termasuk bidang perakaunan dan kejayaan ini membuktikan anak Melayu boleh menguasai bidang ini dengan syarat belajar bersungguh-sungguh.

“Perakaunan sebenarnya berbeza dengan Matematik kerana ia lebih kepada teori, bukan pengiraan dan tips yang banyak membantu saya berjaya ialah sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan sekuliah kerana dengan cara ini saya akan lebih faham dan ingat,” ujar Wan Nur Mafudah.

Acca Dunia
sumber: facebook

Menurutnya lagi, sebelum ini dia tidak pernah menjangka akan mendapat keputusan terbaik dalam mata pelajaran tersebut dan hanya berusaha menjawab soalan sebaik mungkin dengan harapan mendapat keputusan cemerlang. Namun ternyata semua usahanya berbaloi selepas namanya diangkat sebagai tempat pertama di dunia.

Bila disoal mengenai kejayaan di zaman persekolahannya, Wan Nur Mafudah memberitahu bahawa dia merupakan satu-satunya murid yang memperoleh keputusan UPSR 5A di SK Tok Raja sebelum melanjutkan pelajar di MRSM Besut.

Selepas berjaya memperolehi keputusan 8A1B dalam SPM, beliau mengikuti pengajian di Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur dalam prinsip perakaunan selama setahun setengah sebelum memasuki INTEC.

Image 4
sumber: kosmo!

Wan Nur Mafudah yang juga penerima biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) merancang untuk terus menimba pengalaman dengan bekerja sebagai akauntan di firma perakaunan terkemuka terlebih dahulu sebelum mengejar cita-cita menjadi pensyarah perakaunan.

“Saya mahu jadi contoh kepada adik-adik saya agar belajar bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan.

“Selain itu, saya berharap subjek perdagangan, perakaunan dan ekonomi ditekankan secara serius kepada pelajar di peringkat awal menengah kerana ia asas dalam pelbagai pekerjaan seseorang khususnya sekiranya menceburi bidang perniagaan,” katanya lagi.

Tiada yang mustahil jika kita berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan. Tahniah Mahfudah! 

Baca: Pelajar Malaysia Pertama Sertai Persidangan United Nation International Model Berjaya Rangkul Beberapa Anugerah

Un

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.