Baru-baru ini kecoh kisah seorang perempuan bengkak mukanya kerana menggunakan produk kecantikannya yang dibeli online. Jika ada ramai pengguna yang memilih untuk membeli produk kecantikan online, ada juga yang memilih untuk mendapatkan rawatan kecantikan lebih eksklusif dengan menggunakan produk yang disyorkan oleh doktor kecantikan atau pakar kulit yang bertauliah.
Namun begitu, jaga-jaga kerana mungkin ada laman web di luar sana yang cuba memperdayakan anda dengan menggunakan nama doktor pakar kecantikan yang tidak diupah untuk bekerja dengan mereka sewenangnya.
Menurut WORLD OF BUZZ, seorang konsultan kecantikan dari Malaysia, Dr. Loo Keng Shien baru-baru ini mendapat tahu bahawa ada satu laman web tempatan yang menggunakan namanya untuk menjual produk kecantikan wajah!
Doktor tersebut mendapat tahu mengenai artikel palsu yang menggunakan namanya itu melalui seorang pesakit yang menelefon untuk bertanyakan tentang Bioxelan Skin Renewal Cream yang dikatakan dijual menggunakan namanya di internet.
“Hari ini (13 November) sekali lagi saya diberitahu tentang ini oleh seorang pesakit yang melihat artikel yang menggunakan nama dan gambar saya untuk menjual produk di talian.”
Walaupun Dr. Loo khuatir akan keadaan yang menimpa dirinya, dia lebih bimbangkan pengguna di luar sana yang mungkin akan tertipu dan terpedaya dengan helah ini.
“Mana ada satu produk kulit yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit kulit. Itu semua maklumat yang salah.”
Dr. Loo yang sebenarnya bekerja di Peter Ch’ng Clinic cuba menghubungi pemilik laman web tersebut untuk memadamkan artikel berkenaan, tetapi malangnya tidak berjaya. Lebih teruk lagi, mereka menukar laman web tersebut kepada yang lain pula. Teruknya!
“Saya terkejut ada orang di luar sana yang mampu mencuri identiti orang lain semata-mata untuk menjual produk mereka. Mungkin ada doktor lain yang akan menjadi mangsa mereka yang seterusnya dan saya pasti ramai pengguna telah terpedaya dengan penipuan ini.”
Dr. Loo bersyukur kerana ada pesakit yang mengenali dan boleh memberitahu hal ini kepadanya. Dia menasihatkan semua orang di luar sana agar lebih berhati-hati dan cuba dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan produk-produk tersebut.
Jika anda tahu identiti anda telah dicuri dan digunakan untuk sebarang sebab dalam talian, jangan ragu-ragu untuk melaporkan hal ini kepada pihak SKMM supaya mereka boleh mengambil tindakan lanjut. Semoga tidak ada lagi yang tertipu dengan helah seperti ini.
Baca: Padah Beli Produk Online! Muka Wanita Ini Mula Membengkak, Pedih dan Kemerahan