in

Ibu Bapa Tak Sedar, Anak Kecil Keluar Rumah Maut Lemas Selepas Tergelincir Jatuh Sungai

Im

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Jika baru-baru ini heboh kisah anak kecil merangkak sehingga ke atas jalan raya gara-gara bapanya sedang nyenyak tidur di negara jiran, kali ini perkara yang hampir sama berlaku di negara kita pula. Kejadian berlaku di Ranau, Sabah ini serupa puncanya dengan apa yang berlaku di Thailand tersebut kerana kedua-dua insiden melibatkan kecuaian ibu bapa.


Menurut Astro Awani, seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 8 bulan telah ditemui maut selepas dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di Sungai Liwagu, berhampiran Kampung Kimolohing. Kanak-kanak dikenali sebagai Adriella Joni itu dipercayai terjatuh akibat tergelincir di curam batu berhampiran kediaman keluarganya pada jam 8 pagi.

Batu1
sumber: astro awani

Sejurus tergelincir, kanak-kanak itu telah dihanyutkan arus deras sungai berkenaan dan lebih mengejutkan, ibu bapa mangsa dikatakan langsung tidak sedar bahawa anak mereka itu keluar bersendirian dari rumah.

Setelah menyedari kehilangan anak mereka yang masih kecil itu, kedua-dua ibu bapa Adriella mula mencarinya di sekitar lokasi kejadian. Setelah dua jam mencari, kanak-kanak tersebut masih belum dijumpai membuatkan mereka memutuskan untuk menghubungi pihak polis.

Batu2
sumber: astro awani

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang dikejarkan ke lokasi kejadian kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 12 tengah hari di sungai itu,” kata Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah.

Selepas lebih satu jam usaha mencari kanak-kanak tersebut berlangsung, Adriella akhirnya ditemui dalam keadaan terapung agak jauh daripada rumah kediaman keluarganya dan sudah tidak bernyawa.

“Kira-kira jam 1.35 petang, mayat mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter daripada rumah mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata Mohd Farhan lagi.

Batu3
sumber: astro awani

Mayat anak kecil itu kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan selanjutnya. Hasil siasatan awal mendapati bahawa tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian terbabit. Disebabkan itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sentiasa peka dengan pergerakan anak-anak kita terutamanya jika mereka masih kecil…

Baca: Ibu Leka Bermain Telefon Bimbit, Tidak Sedar Anak Kelemasan Dibelakangnya

Lemas

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.