Gadis Ini Dulu Pernah Dipaksa Kahwin Pada Umur 13 Tahun, Kini Jadi Aktivis Henti Perkahwinan Kanak-kanak

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Hampir 10 tahun lepas, gadis bernama Sanita dari Indonesia ini hampir dikahwinkan ibu bapanya pada usia semuda 13 tahun oleh kerana beban kewangan yang dihadapi keluarga ini, lapor Huffington Post.

Menyedari akan takdir hidupnya bakal menjadi gelap jikalau perkahwinan kanak-kanak ini diteruskan, Sanita berusaha meyakinkan ibu bapanya untuk membatalkan hasrat itu dan membenarkannya untuk terus belajar di sekolah.

Nasibnya berubah 360 darjah dan kini beliau seorang aktivis yang berjuang untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak!



Sumber: Huffington Post

Berikut Sanita kongsikan kisah inspirasinya:

“Semasa saya kecil dahulu, kampung saya terletak di sebuah tempat yang terpencil. Kami cuma ada beberapa buah buku dan tiada komputer langsung,” kata Sanita.

Ketika saya berusia 13 tahun, keluarga cuba untuk mengahwinkan saya kerana mereka tidak mampu menjaga saya. Ayah hanya bekerja sebagai tukang kayu, manakala ibu pula menjual barangan runcit – jadi kami tak ada banyak wang.”

Sanita kemudian bertanya kepada ibu bapanya, “Apakah nilai saya?” 

Dia kemudian menyambung,

Kalau ibu dan ayah hentikan perkahwinan ini dan biarkan saya meneruskan pelajaran, saya akan bayar semula wang yang ibu dan ayah laburkan untuk saya. Tetapi jikalau saya dipaksa berkahwin, saya takkan dapat memberikan apa-apa.” 

“Akhirnya, ibu dan ayah bersetuju untuk membatalkan perkahwinan itu dan benarkan saya untuk terus belajar di sekolah.”



“Sekarang, saya ingin mengajak kanak-kanak perempuan lain untuk ‘katakan tidak pada perkahwinan dan berani menentangnya. Satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghindari perkahwinan ialah melalui pendidikan’,” pesan Sanita.

Sanita yang kini berusia 22 tahun bergiat aktif sebagai aktivitis yang berjuang untuk hak kanak-kanak perempuan dan menjadi suri teladan bagi komunitinya.

Sumber: Huffington Post

Menurutnya Sanita lagi,

Saya hampir menjadi mangsa kepada perkahwinan kanak-kanak. Saya pernah melihat bagaimana anak gadis lain menjadi mangsa kepada perbuatan ini dan saya fikir, ‘hidup tak seharusnya begini buat para remaja. Saya harus lakukan sesuatu untuk membantu mereka’.”

Sumber: Huffington Post

Sebelum Sanita menyertai Asian Youth Forum, dia menjelaskan kepada ibu bapanya akan perkara yang telah berjaya dicapainya hasil dari persekolahan dahulu.

“Saya tidak rasa mereka sedar, sebagai contoh, saya bayar yuran universiti saya sendiri dan mengembara ke Jepun untuk bertemu dengan ahli Asian Development Bank untuk memartabatkan hak kanak-kanak perempuan. Disebabkan kejayaan ini, saya rasa ibu bapa saya sudah mula memahami dan percaya yang mereka membuat keputusan yang betul.” 

Sanita berpendapat persepsi mereka di komunitinya kini sudah berubah. Orang mula bertanya kepada ibu bapanya, “Mengapa tiada lelaki yang meminang Sanita?”



“Dia itu bukan calang-calang gadis,” jawab mereka yang lain.

Pada 2016 lalu, Sanita bersama kumpulannya telah menubuhkan Youth Coalition for Girls yang bertujuan untuk menegakkan hak kanak-kanak perempuan dan kesamarataan jantina.

Pertubuhan tersebut kini dijangka bakal berkembang ke 11 wilayah dalam usaha membantu lebih ramai kanak-kanak. Sanita juga merupakan Naib Presiden bagi Youth Coalition for Girls. 

Syabas Sanita atas usaha anda dalam membantu kanak-kanak di serata negara dalam menegakkan hak-hak mereka. Semoga usahanya terus menjadi inspirasi buat semua. 

Baca: Ibu Didik Anak Hidap Cerebral Palsy Hingga Berjaya Diterima Harvard

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!