in

Dua Beradik Berjalan Kaki Jam 6 Pagi Dari Rumah Kebajikan di Sungai Buloh Ke KL Untuk Bertemu Ibu

Dua Beradik

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tiada siapa yang mahu hidup berjauhan dengan ibu sendiri termasuklah dua kanak-kanak ini sehinggakan mereka sanggup berjalan kaki dari Saujana Utama, Sungai Buloh ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk bertemu ibu mereka. Jauhnya!


Jarak
sumber: google

Menurut mStar, kedua-dua beradik berusia 8 dan 10 tahun itu dijumpai oleh seorang lelaki yang prihatin. Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi Ahad lalu, lelaki berkenaan yang kebetulan sedang memandu di jalan itu memberhentikan kenderaannya untuk bertanya mengapa mereka berada di situ.

Apabila ditanya oleh lelaki bernama Ahmad Nazri Zainudin itu, kanak-kanak tersebut dengan muka yang sedih berkata,

“Pakcik boleh tolong hantarkan kami ke Bukit Jalil, nak jumpa mak.”

Budak Jalan1
sumber: mstar

Memandangkan destinasi yang mereka tuju itu jauh dan dia mahu ke tempat kerja, lelaki berusia 38 tahun itu membuat keputusan untuk menghantar mereka ke balai polis. 

Kanak-kanak itu merupakan penghuni sebuah rumah kebajikan di Saujana Utama bernama Rumah Aman. Wakil penjaga dari rumah itu dilaporkan menjemput dua beradik itu kira-kira jam 9 pagi pada hari yang sama.

Rumah Aman ditubuhkan sejak 2005 untuk anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik dan menempatkan kira-kira 55 penghuni bagi cawangan Saujana Utama.

Menurut Pengasas dan Pengarah Rumah Aman, Abdul Rehman Dakri, mereka masih mempunyai ibu bapa dan baru sahaja dihantar untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut.

Rumah Aman2
sumber: mahamahu
Rumah Aman1
sumber: rumah aman

Ibu bapa dua kanak-kanak berkenaan dikatakan tidak berkemampuan dan mereka dihantar ke situ untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan teratur.

Namun, disebabkan sukar membiasakan diri dan masih baru dengan persekitaran yang penuh disiplin, mereka bertindak sedemikian.

“Mereka mungkin tak biasa hidup dalam suasana seperti asrama yang ada jadual dan peraturan walaupun kami menyediakan makan minum dan tempat tinggal serta kemudahan pendidikan,” kata Abdul Rehman.

Abdul Rehman turut memohon maaf di atas insiden yang berlaku dan memaklumkan bahawa dia akan memastikan kakitangannya memantau setiap penghuni dengan lebih teliti supaya tiada yang terlepas dari pengawasan.

“Saya memohon maaf di atas insiden yang berlaku pagi tadi. Kami akan memastikan kejadian tidak berulang. Jangan risau mengenai kanak-kanak ini kerana penghuni yang masih mempunyai ibu atau bapa boleh melawat mereka sekali setiap bulan.”

Memang sedih bila terpaksa berjauhan dengan ibu bapa. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berada di bawah jagaan pihak yang boleh dipercayai, insyaAllah.

Baca: Tiga Beradik Berbasikal Sejauh 570 Kilometer Demi Menyambut Aidilfitri Bersama Ibu

B1 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.